mutakhir

IS kacau Gaza

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Selepas cubaan menyusup masuk ke Gaza, Palestin gagal, militan negara Islam (IS) dipercayai merekrut rakyat Gaza melakukan kekecohan.

Perkara itu didedahkan, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman, satu-satunya rakyat Malaysia yang mengikuti kursus dalam bidang syariah di Universiti Islam Gaza sejak Februari 2013.

Menurut Nadir, selepas cubaan masuk ke Gaza gagal, kumpulan IS dikesan merekrut warga tempatan di wilayah bergolak itu untuk melakukan kekecohan.

“Berdasarkan maklumat, pihak berkuasa Gaza di bawah pemerintahan (kerajaan) HAMAS mengesan dan menahan beberapa individu yang dipercayai bersekongkol dengan militan IS,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, anggota militan IS itu dilapor cuba menimbulkan huru-hara di kawasan pemerintahan HAMAS dengan cubaan mengebom tempat awam.

“Tujuan mereka hanyalah satu iaitu menimbulkan huru-hara kononnya menunjukkan kerajaan HAMAS tidak lagi mampu mentadbir Semenanjung Gaza. Jadi, perancangan anggota IS itu untuk membangkitkan semangat rakyat bagi menjatuhkannya.

“Malah, antara propaganda yang digunakan mereka seperti kerajaan HAMAS tidak lagi mahu berjuang untuk pembebasan Masjidil Aqsa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nadir berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu From Gaza With Love yang diasaskannya bersama beberapa rakan mengurangkan bebanan rakyat Gaza yang menyambut Aidiladha dalam keadaan serba kekurangan.

“Sehingga kini, tujuh lembu dan 14 kambing dikorbankan sempena Aidiladha ini hasil sumbangan rakyat Malaysia.

“Ini saja sumbangan yang mampu diberikan kami ketika ini berikutan kenaikan harga binatang ternakan yang naik mendadak apatah lagi terjejas akibat kejatuhan nilai ringgit,” katanya.

Menurutnya, setiap kilogram(kg) daging ibadah korban sebelum ini Shekel (ILS) 12 tetapi meningkat ILS22.

“Disebabkan kejatuhan nilai ringgit, satu kg daging RM25 menyebabkan seekor lembu korban meningkat menjadi RM12,000,” katanya memberitahu, setiap lembu ataupun kambing akan dibawa masuk dari Israel.

Menurutnya, biarpun projek sumbangan korban yang dianjurkan From Gaza With Love berakhir semalam, dia merayu rakyat Malaysia terus menyumbang ke tabung pertubuhan berkenaan.

Sumbangan boleh dilakukan melalui akaun Maybank 5648 1050 7826 (Persatuan Cinta Gaza Malaysia).

Disiarkan pada: September 24, 2015 @ 5:30am
d