mutakhir

Kekang penularan aliran agnostik

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memandang serius penularan ajaran kumpulan agnostik yang meragui syariat Islam dan akan memantau isu berkenaan secara berterusan bagi menyekat penyebarannya dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata, fahaman itu mempunyai kaitan dengan pemikiran liberal yang sudah lama bertunjang di dalam pemikiran segelintir masyarakat Islam di Malaysia.

“Ia adalah falsafah pasca modenisme dan JAKIM sedang dalam kajian lanjut berkaitan agnostik ini termasuk bekerjasama dengan pihak jabatan agama Islam negeri untuk tindakan bersepadu.

“Jika dibiarkan, kita khuatir ia boleh menjadi ancaman kepada akidah umat Islam di negara ini kerana amat jelas kumpulan ini mengagungkan akal fikiran semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro di sini semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan akhbar ini Isnin lalu mengenai kewujudan ‘pegangan’ kumpulan agnostik yang semakin menular dalam kalangan belia negara ini terutama penuntut universiti yang berfikiran kritis dengan anggapan perlu ada logik serta penjelasan saintifik dalam setiap suruhan agama.

Ahli Jawatankuasa Pusat Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Mohd Fakaruddeen Che Omar yang mendedahkan perkara itu dipetik berkata, terdapat ribuan belia yang dikesan berfahaman agnostik sejak beberapa tahun lalu berdasarkan pemantauan beliau terutama di media sosial.

Golongan liberal itu menurutnya, beranggapan amalan terutama solat hanya ciptaan manusia sebagai cara penghubung diri dengan Tuhan selain tidak percayakan alam ghaib seperti alam barzakh, hari akhirat, kiamat, dosa, pahala, syurga dan neraka berikutan tiadanya bukti saintifik yang mengesahkan kewujudan itu.

Disiarkan pada: September 24, 2015 @ 5:38am
d