mutakhir

Polis cedera bergelut dengan pencuri

Melaka: Seorang pegawai polis cedera ringan di kepala ketika bergelut dengan seorang penjenayah di Taman Merdeka, Batu Berendam di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, mangsa pada mulanya menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian mencuri bateri kereta terpakai di sebuah rumah teres di taman perumahan itu sebelum meninjau dan mengesan suspek.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika ditemui mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, kejadian menimpa pegawai berkenaan berpunca daripada kejadian mencuri bateri kereta terpakai oleh seorang lelaki berusia 30-an.

“Suspek bersama seorang wanita dan kanak-kanak lelaki yang menaiki sebuah motosikal dikatakan berhenti di depan sebuah rumah teres sebelum suspek membuka pagar untuk memasuki pekarangan rumah dan mengambil bateri kereta terpakai.

“Perbuatan suspek dilihat penghuni rumah yang kemudian menjerit ‘pencuri’ sebelum suspek melarikan diri,” katanya.

Katanya, penghuni rumah itu kemudian melaporkan kepada pengadu yang juga pegawai polis yang tinggal di sekitar taman itu.

“Pegawai itu kemudian bersama penghuni rumah menaiki motosikal meronda kawasan taman perumahan sebelum terserempak dengan suspek. Pegawai polis itu menghampiri suspek dan memperkenalkan diri sebagai polis menyebabkan suspek cuba melarikan diri sebelum terbabas.

“Ketika itu, wanita dan kanak-kanak bersama suspek sudah melarikan diri manakala suspek pula bergelut dengan pegawai terbabit sebelum dapat ditahan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek direman mulai hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas,” katanya.

Disiarkan pada: September 24, 2015 @ 5:52am
d