mutakhir

'Apakan daya gaji saya RM550 sebulan'

Batu Pahat: Memperoleh pendapatan RM550 sebulan sebagai pekerja kilang tidak menghalang ibu tunggal beranak lapan membesarkan seorang anaknya yang mengalami sakit tulang belakang melengkung sejak sembilan bulan lalu.

Malah, dugaan yang menimpanya secara mengejut itu menjadikan Latifah Kassim, 48, lebih cekal dan tabah mengharungi liku kehidupan.

Menurut Latifah, anak ketujuhnya Nurul Shafi Roziah Sham, 9, mula menghidap penyakit berkenaan pada penghujung Disember 2014 yang menyebabkan belakang badannya berbonggol besar dan membongkok hingga sukar berjalan.

“Nurul tidak mampu berjalan normal apabila tulang belakangnya bengkok kerana menyukarkan pergerakan. Malah, dia cepat letih kerana membongkok sepanjang masa.

“Selain itu dia juga memakai bengkung khas yang dibekalkan hospital bagi mengekalkan struktur tulangnya supaya tidak terus membengkok,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Bingan Darat, Ayer Hitam di sini.

Latifah berkata, penyakit dihadapi anaknya berlaku dalam sekelip mata kerana dia langsung tidak menunjukkan tanda atau mengadu sakit belakang.

Menurutnya, bimbang keadaan semakin serius, dia menghantar anaknya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) November lalu sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

“Namun, ketika itu tulang belakang kanan badan Nurul melengkung dan membentuk bonggol besar. Malah doktor juga sehingga hari ini gagal mengesan punca sebenar penyakit berkenaan,” katanya.

Tambahnya, keadaan Nurul menyebabkan dia tidak dapat bersekolah sejak awal tahun ini.

Ditanya mengenai kos perubatan ditanggungnya, Latifah berkata, sejak ditahan di wad di HSI pada Disember tahun lalu, dia berulang-alik dari Ayer Hitam ke Johor Bahru sebulan sekali.

Katanya, atas nasihat doktor, anaknya tidak dibenarkan menaiki bas dan disebabkan itu dia memperuntukkan lebih RM360 sebulan bagi bayaran teksi ke Johor Bahru pergi dan balik.

“Dengan gaji hanya RM550 sebulan, saya tidak mampu menampung kos terbabit, malah berbincang dengan doktor supaya menangguh rawatan susulan yang ditetapkan.

“Walaupun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tanggungan saya ramai,” katanya.

Menurutnya, walaupun begitu, dia cekal dan sedaya upaya berusaha mendapatkan yang terbaik untuk semua anaknya.

Difahamkan pakar di HSI cuba mendapatkan rawatan terbaik termasuk menerusi teknologi kepakaran dari Australia, namun memerlukan kos perbelanjaan yang tinggi.

Orang ramai yang bersimpati dengan nasib Nurul boleh menyumbang ke akaun CIMB 7042391040 atau menghubunginya di talian 014-2756631.

Disiarkan pada: September 24, 2015 @ 5:57am
d