mutakhir

'Saya tekad lahir semula'

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: “Insya-Allah, saya akan ‘lahir semula’ sebagai orang baru selepas ini dengan meninggalkan segala kegiatan tidak sihat dulu. Ini keazaman saya sejak berada di PENGASIH (Persatuan Pengasih Malaysia) lima bulan lalu.”

Itu janji Megat Hafiz Mohamad, 34, anggota kumpulan muzik ACAB yang pernah menjadi sebutan anak muda sekitar 1990-an.

Dia yang popular dengan nama Max Hafiz berazam untuk kembali menyerikan industri muzik tanah air dalam masa terdekat selepas bersedia berdepan dengan peminat.

“Saya terjebak dengan dadah ini sejak berusia 18 tahun lagi, untuk berhenti daripada dadah memang mudah. Tetapi, pemulihannya mengambil masa panjang.

“Pada tempoh ini, saya akan tinggal dulu di PENGASIH. Kali ini, saya betul-betul nekad berhenti selama-lamanya daripada mengambil dadah. Cukuplah kesilapan saya sebelum ini,” katanya.

Megat Hafiz ditemui pemberita di pekarangan PENGASIH pada Majlis Ibadah Korban sempena Aidiladha anjuran rumah pemulihan itu, di sini, semalam.

Menurutnya, dia juga berhasrat membantu golongan muda terjebak dengan ketagihan dadah menerusi nasihat kaunseling dan berharap peranannya dapat memberi manfaat positif kepada masyarakat.

Kumpulan ACAB ditubuhkan pada penghujung tahun 1994 sebelum namanya ditukar kepada The ACAB pada 2003 berikutan penukaran genre muzik mereka iaitu daripada Oi! kepada rock indie.

Sementara itu, Pengerusi PENGASIH Datuk Yunus Pathi berkata, program ibadah korban itu sememangnya menjadi acara tahunan rumah pemulihan itu kerana ia sangat berkait rapat dengan kehidupan penagih dadah.

“Ibadah korban ini begitu dekat dengan kehidupan individu yang terjerumus dalam kancah dadah. Pengorbanan besar harus dilakukan jika mereka mempunyai keazaman tinggi untuk melakukan perubahan dalam hidup.

“Ini mesej yang selalu kita sampaikan kepada penghuni rumah Pengasih iaitu berkorban daripada aspek perasaan serta bersedia menghadapi penerimaan orang luar,” katanya.

Pada masa sama, Yunus berkata, individu didapati menyalahgunakan dadah tidak wajar diklasifikasikan sebagai penjenayah seperti perundangan terpakai selama ini.

Menurutnya, akta sedia ada memperuntukkan kesalahan penyalahgunaan dadah boleh ditafsirkan sebagai jenayah dan keadaan ini menyukarkan kehidupan bekas penagih itu sendiri.

Disiarkan pada: September 25, 2015 @ 6:00am
d