mutakhir

Penjaja tak faham bahasa

Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Masalah penjaja yang menjual makanan ringan atau jajan di luar pagar sekolah bukanlah isu baru walaupun pihak kerajaan berusaha untuk menangani isu itu bagi menjaga kesihatan kanak-kanak.

Penjaja masih berdegil dan enggan menghentikan aktiviti menjaja kerana mereka berupaya mengaut keuntungan besar dan tidak perlu mencari pelanggan disebabkan kegemaran kanak-kanak membeli makanan dan minuman ringan.

Tinjauan di beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Subang Jaya mendapati kebanyakan penjaja menggunakan motosikal aktif menunggu sejam awal sebelum tamat sesi persekolahan sehingga sekolah lengang sebelum beransur pulang.

Kebanyakan mereka menjual makanan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula seperti aiskrim dan minuman berkarbonat.

Penjaja juga bertindak berani apabila menjual makanan kepada pelajar di dalam sekolah melalui pagar.

Guru di sebuah sekolah di Kuala Lumpur, Mohd Azmil Ramli, 30, berkata, bilangan penjaja di luar pagar sekolahnya nyata tidak berubah, malah ia semakin bertambah lebih-lebih lagi membabitkan penjaja yang menjual menggunakan motosikal.

“Saya kurang pasti jenis makanan yang dijual, namun mengikut pengamatan saya, jumlah mereka semakin ramai.

“Mungkin senario ini berlaku kerana kurangnya pemantauan pihak berkuasa. Sekiranya pemantauan dilakukan secara berkala dan kerap, pasti penjaja akan lebih takut,” katanya.

Menurutnya, pihak sekolah turut mengeluarkan arahan melarang kegiatan itu, namun penjaja masih berdegil.

“Mereka bertindak lebih berani apabila turut menjual makanan melalui pagar sekolah kepada murid-murid.

“Penjaja mengumpan kanak-kanak melalui jajan yang menyediakan hadiah misteri. Ini menyebabkan murid tidak sabar untuk membeli jajan menyebabkan penjaja menjual melalui pagar,” katanya.

Seorang ibu, Sarimah Mohamad, 40, berkata, langkah kerajaan menguatkuasakan larangan kira-kira lima tahun lalu dianggap tepat memandangkan kanak-kanak pada masa kini lebih gemar memakan makanan ringan berbanding nasi berlauk.

“Pada pandangan saya, jumlah penjaja masih sama, tiada perubahan pun. Mungkin senario ini berbeza di sekolah lain yang menunjukkan pengurangan.

“Tindakan penjaja yang masih berdegil menjual makanan tidak berkhasiat diharap akan dikenakan tindakan kerana mereka boleh menyebabkan kanak-kanak sudah tidak mahu memakan nasi berlauk sebaliknya memilih makanan ringan,” katanya.

Katanya, kerajaan perlu lebih bertimbang rasa dalam menentukan jenis makanan yang boleh dijual di kantin sekolah kerana selepas larangan itu, pastinya anak-anak bergantung kepada kantin untuk membeli makanan.

Disiarkan pada: September 25, 2015 @ 6:12am
d