mutakhir

Galak aspek bersih, sihat, selamat

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Shah Alam: Politeknik Shah Alam (PSA) menganjurkan Karnival 3K di pusat pengajian tinggi, baru-baru ini bertujuan memberi pendedahan kepada penuntut, warga kerja dan komuniti setempat berhubung aspek Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K).

Program anjuran Jabatan Kejuruteraan Elektrik PSA itu turut membabitkan penduduk sekitar antaranya dari Glenmarie, TTDI Jaya dan Bukit Jelutong, di sini.

Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PSA Mohd Zin Hassan berkata, karnival kali ketiga itu diadakan pada skala lebih besar dan menyeluruh termasuk membabitkan agensi dari luar politeknik.

“Karnival ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai 3K kepada semua golongan tanpa mengira peringkat usia sekali gus meningkatkan hubungan antara politeknik ini dengan masyarakat setempat dan agensi luar.

“Antara agensi dan pihak yang terbabit dalam karnival ini adalah Majlis Kanser Negara (MAKNA), ALUMNI PSA, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta beberapa agensi lain,” katanya pada perasmian penutup karnival berkenaan di PSA, baru-baru ini.

Menurutnya, sambutan pada kali ini menggalakkan, malah pihaknya mengumpul 90 penderma organ dan 66 individu untuk menderma darah.

“Karnival kali ini berjaya mencapai objektifnya. Selain dapat mengumpul maklumat berkenaan keselamatan dan kesihatan daripada agensi terbabit, peserta juga dapat menderma darah dan mendaftar sebagai penderma organ.

“Karnival ini turut memuatkan beberapa sesi seperti latihan pemadaman api, sesi ceramah barah payudara, asas pertolongan cemas selain demonstrasi memberus gigi,” katanya.

Penuntut semester 1 Kejuruteraan Elektrik Chairol Nizam Saharuddin, 18, berkata, di memperolehi banyak pengetahuan baru melalui aktiviti itu.

“Sebagai contoh sesi ceramah berkaitan kanser payudara turut menyedarkan saya bahawa kaum lelaki turut berisiko mendapat jangkitan sama,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2015 @ 6:14am
d