mutakhir

Tiada lagi nasi dagang

Kota Bharu: “Biasanya apabila menjelang perayaan, emak selalu masak nasi dagang dan rendang kesukaan kami, namun kini tiada lagi,” kata Muhammad Hafizan Muhammad Noor, 26, anak lelaki Allahyarhamah Rohana Ismail, 54, jemaah haji Malaysia yang maut dalam kejadian kren tumbang di Masjidilharam, 11 September lalu.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, lebih 100 jemaah haji terkorban dan tujuh daripadanya membabitkan jemaah haji Malaysia.

Muhammad Hafizan berkata, dia sekeluarga merindui masakan arwah ibunya itu termasuk kenangan memasak bersama setiap malam raya bersama adik-beradik lain.

Beliau yang bekerja sebagai pereka set di Media Prima Berhad berkata, sebelum arwah ibu bersama bapanya, Mohammad Noor Harun, 56, berangkat ke Makkah, dia dan adik-beradik sempat merancang untuk memasak bersama bagi persiapan Aidiladha memandangkan ibunya tiada di sisi mereka.

“Pada pagi raya hari ini (semalam), kami masih bersedih dengan kehilangan emak kerana biasanya setiap kali berkumpul dan memasak bersama, kami sentiasa bergurau senda.

“Namun, kini gelak ketawa emak hanya tinggal di ingatan kami sekeluarga saja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dewan Beta, di sini, semalam.

Kesedihan itu turut dikongsi anak kedua mangsa, Siti Hamimi, 27, yang menyifatkan fikirannya terasa kosong sebaik dimaklumkan kejadian menimpa arwah ibunya.

“Selepas dimaklumkan kejadian yang menimpa emak, fikiran saya rasa kosong. Sekarang ini mungkin tidak rasa sedih sangat kerana abah belum pulang dari Makkah.

“Tetapi, selepas abah pulang nanti, saya tidak tahu apa akan berlaku apabila emak tiada bersama.

“Setiap kali pulang beraya, biasanya saya akan menemani emak ke rumah saudara mara untuk beraya. Namun, rasa pelik bila semua itu tidak lagi berlaku,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2015 @ 6:17am
d