mutakhir

Nyawa RM35,000

Oleh Nor Raidah Awang

Selama: Ketika insan lain menyambut kelahiran bayi pertama mereka yang sihat dengan gembira, Nur Atikah Mohamad Ideris, 20, hanya mampu menahan air mata serta berdoa anaknya Muhammad Lutfan Amar Abdul Fattah, dua bulan, yang disahkan menghidap saluran pernafasan sempit akan pulih dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Nur Atikah yang juga ibu tunggal berasal dari Kampung Sungai Lempong Kubu Gajah, di sini, berkata, hampir sebulan anaknya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk pemantauan rapi mengenal pasti penyakit dan rawatan yang perlu dijalankan.

“Lutfan tidak banyak ragam, tetapi saya tidak sampai hati melihat keadaannya. Dia juga tidak dibenarkan pulang kerana bergantung penuh dengan alat bantuan pernafasan.

“Ketika dilahirkan, keadaan Lutfan normal dan ketika disambut dia menangis sepertimana bayi lain dan hanya menunjukkan tanda tidak sihat selepas dia enggan minum susu dan suaranya perlahan,” katanya.

Nur Atikah berkata, pihak hospital juga sudah merujuk kepada pakar dan diberitahu pembedahan perlu dijalankan segera bagi memulihkan saluran pernafasannya serta membolehkan dia bernafas seperti biasa.

Katanya, bagaimanapun dia bertambah bimbang selepas doktor mengesahkan anaknya berkemungkinan mengalami masalah jantung berlubang dan memerlukan kos besar untuk menjalani pembedahan.

“Lutfan perlu menjalani pembedahan segera, saya bimbang akan memberi kesan kepadanya sekiranya pembedahan lambat dilaksanakan dan doktor memberitahu pembedahan akan dijalankan di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC) Pulau Pinang.

“Saya buntu memikirkan kos perubatan anak RM35,000, di mana saya perlu dapatkan wang kos rawatan Lutfan,” katanya.

Nur Atikah berkata, dia tidak mampu menanggung kos pembedahan itu kerana dia tidak bekerja dan mengharapkan bantuan kedua ibu bapa.

Katanya, dia hanya mampu berdoa kepada Allah agar ada pihak yang sudi membantu menyalurkan bantuan bagi membolehkan anaknya hidup dan membesar sebagaimana kanak-kanak normal lain.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi Nur Atikah di talian 019-5136040 atau 019-4407752.

Disiarkan pada: September 28, 2015 @ 5:08am
d