mutakhir

Empat nelayan ceroboh perairan Indonesia bebas

Serian: “Syukur, semua selesai dan kami dapat pulang ke pangkuan keluarga,” kata Abu Talip Lang, 43, seorang daripada empat nelayan Malaysia yang berada di bawah jagaan Polis Air Indonesia (POLAIR) kerana menceroboh perairan Indonesia, 11 September lalu.

Abu Talip bersama tiga rakannya, Adam Drahman, 28, Mohammad Azlan Bujang, 22, dan Mohammad Subhi Jamil, 25, dibebaskan dan dihantar ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Tebedu, di sini, jam 1 petang, kelmarin.

Empat nelayan terbabit dihantar ke CIQ oleh Pejabat Imigresen Indonesia untuk dibebaskan sebaik proses siasatan di POLAIR Pontianak, Indonesia selesai.

Abu Talip berkata, sepanjang lebih dua minggu di bawah jagaan POLAIR, mereka sentiasa terkenangkan keluarga di Kampung Hulu Beladin, Pusa dan berharap dapat pulang segera.

“Doa kami makbul dan kami bebas tanpa perlu jalani hukuman,” katanya.

Empat nelayan itu disambut pegawai Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.

Disiarkan pada: September 28, 2015 @ 5:10am
d