mutakhir

Ubah tempoh ukur bacaan IPU

Kuala Lumpur: Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam berdepan situasi kecemasan seperti masalah jerebu ketika ini termasuk memendekkan tempoh mengukur bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang diukur dengan purata 24 jam.

Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Kamoo berkata, kekerapan tempoh mengukur IPU pada stesen pengukur perlu diubah mengikut situasi semasa yang berlaku kepada negara memandangkan kualiti udara berubah mengikut keadaan.

Beliau berkata, langkah itu bagi memberi amaran lebih awal kepada orang awam untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk keadaan jerebu luar biasa.

“Kaedah pengukuran mengambil purata 24 jam yang diguna pakai Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengikut standard protokol antarabangsa itu memang tepat tetapi ia hanya sesuai dalam keadaan kualiti udara biasa antara 60 hingga 100 tetapi dalam keadaan jerebu tak boleh guna kaedah 24 jam.

“Contohnya, Sabtu lalu di mana keadaan jerebu serius berlaku di beberapa kawasan terutama sekitar Lembah Klang, namun IPU masih rendah memang tak logik dan seolah-olah bacaan yang kita dapat itu sudah ketinggalan,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2015 @ 9:01am
d