mutakhir

Jalan Alor bebas ancaman pengganas

Kuala Lumpur: “Tiada lagi ancaman pengganas di kawasan-kawasan yang dinyatakan sebelum ini,” tegas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Jalan Alor dekat Bukit Bintang di sini dan kawasan sekitarnya kini bebas daripada ancaman pengganas.

Beliau berkata, pihak polis sebelum ini meningkatkan kawalan dan rondaan di kawasan berkenaan selepas Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia di sini memberi amaran terdapat ancaman berkenaan minggu lalu.

“Kami mendapat maklumat risikan daripada beberapa agensi perisikan termasuk AS berkaitan kawasan dikategorikan sebagai bahaya.

“Saya ingin nyatakan bahawa polis sentiasa siap siaga dan permasalahan yang timbul dapat diatasi. Kita sentiasa mengharapkan kerjasama semua pihak membantu pihak berkuasa sekiranya ada perkara seperti itu berlaku untuk kita lebih berhati-hati,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-10 dan Mesyuarat Menteri Khas ASEAN mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Keganasan Melampau (SAMMRRVE), di sini, semalam.

Khamis lalu, AS dan Australia dilapor mengeluarkan nasihat perjalanan kemungkinan berlaku serangan pengganas di Jalan Alor dekat Bukit Bintang dan kawasan sekitarnya.

Sehubungan itu, polis meningkatkan pengawasan dan rondaan di kawasan berkenaan.

Disiarkan pada: September 30, 2015 @ 9:24am
d