mutakhir

OKU turut diberi perhatian

Oleh Mahaizura Abd Malik

Rembau: Tidak hanya memberi tumpuan kepada modal insan normal semata-mata, keberhasilan pelajar istimewa juga menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan bagi memastikan golongan itu tidak terpinggir dalam arus sistem pendidikan negara seterusnya mampu menyumbang kepada kemajuan negara.

Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, kementerian menyediakan pendidikan untuk murid berkeperluan khas (MBK) di sekolah pendidikan khas atau sekolah aliran perdana dengan melaksanakan sama ada Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Program Pendidikan Inklusif (PPI).

Sebanyak 10,700 murid daripada jumlah keseluruhan 58,006 MBK berpeluang belajar bersama-sama dengan murid lain untuk memupuk pemahaman dalam kalangan murid dan warga sekolah terhadap MBK.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan Bahagian Pendidikan Khas (BPK) Zaleha Osman berkata, tahun ini kementerian bergerak selangkah ke depan dengan buat julung kalinya mengambil inisiatif menganjurkan program Kem Pemantapan Jati Diri dan Kecemerlangan MBK Sekolah Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan 2015 di Kem Bina Negara Ulu Sepri di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, program empat hari itu memberi pendedahan kepada golongan itu mengenai cara hidup berdikari, berani berikhtiar tanpa perlu bergantung kepada orang lain di samping menerapkan azam untuk lulus cemerlang dalam peperiksaan.

“Dalam program ini mereka diberi peluang merasa hidup berdikari seperti mandi, menguruskan diri sendiri, solat, amalan murni, mengamalkan pergaulan sihat antara rakan peserta dan semangat bantu membantu antara satu sama lain dalam menyelesaikan setiap aktiviti berkumpulan,” katanya ditemui pada program itu.

Katanya, seramai 215 peserta dari seluruh negara dibahagikan kepada tiga kumpulan mengikuti kategori aktiviti masing-masing iaitu guru, pelajar tingkatan lima yang bakal mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta murid dari sekolah rendah.

“Guru sama ada normal dan orang kurang upaya (OKU) diberikan motivasi bimbingan untuk menjadi tenaga pengajar yang mampu berdepan MBK termasuk kaedah mengajar dengan berkesan.

“Pelajar tingkatan lima pula kita fokuskan kepada program gerak gempur dengan kaedah menjawab soalan, teknik belajar, motivasi serta kaedah menangani tekanan menghadapi peperiksaan manakala murid sekolah menengah dan rendah pula diberikan pengisian cara belajar yang tidak terlalu menekan serta dapat menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling serta memupuk pembelajaran menyeronokkan.

“Kita berharap selepas program ini, peratusan kecemerlangan akademik pelajar SPM dari golongan ini meningkat, murid dapat kemahiran dan berdikari serta guru mampu mengendalikan MBK dengan baik,” katanya.

Sukarelawan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas Melaka Kayo Kawakami, 61, yang menyertai Program Pertukaran Ekonomi antara kerajaan Jepun dan Malaysia selama dua tahun melahirkan rasa bangga dapat berkongsi kaedah yang dilakukan di negaranya.

“Di Jepun, OKU tiada beza dengan insan normal, mereka hidup bermasyarakat dan berani menjalani kehidupan seperti bekerja dan belajar sama macam orang normal, ” katanya.

Guru Sekolah Pendidikan Khas Kampung Baru, Kuala Lumpur, Mohd Farhan Mohammad Fishoul, 26, berkata dia mengambil masa tiga bulan untuk belajar bahasa isyarat bagi memudahkannya berkomunikasi.

“Murid seperti ini tahap penerimaan mereka bukan belajar untuk habiskan silibus tetapi perlukan pembelajaran menyeronokkan kerana mereka mempunyai memori yang singkat,” katanya.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura, Kulai, Johor, Calvin Isaac Arvinathan,19, berkata dia bertuah kerana ibu bapanya mempunyai kesedaran awal mengenai keperluan yang diperlukannya sebagai seorang cacat pendengaran sejak kecil.

“Saya selalu dihantar bergiat aktif dengan macam-macam aktiviti bukan saja di sekolah malah di luar sekolah juga saya aktif berpersatuan termasuk pengakap dan keagamaan, ” katanya..

Dia berkata, program ini juga amat membantunya terutama dalam ilmu kemahiran hidup dan berdikari selain memantapkan penguasaan akademik.

Sementara itu, Amirul Hafizi Muhamad Yusof, 11, berhasrat belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi jurutera telekomunikasi bagi memudahkan semua orang berhubung terutama yang bermasalah penglihatan sepertinya.

Dia gembira menyertai program itu berikutan banyak pengalaman dan ilmu baru diperolehi yang dapat dimanfaatkan golongan senasib.

“Walaupun saya tak nampak, saya dapat merasai keseronokan belajar dan beraktiviti kerana ia tidak sedikipun membebankan fikiran saya,” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2015 @ 10:36am
d