mutakhir

Penarik kereta 'makan' parang

Shah Alam: Seorang penarik kereta ditetak sekumpulan lelaki ketika mahu menarik sebuah kenderaan yang mempunyai tunggakan ansuran bank di Jalan Kristal, Seksyen 7 di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa berusia 32 tahun cedera di kepala dan koyak cuping telinga kanan akibat ditetak.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, mangsa bersama dua lagi rakannya pergi ke tempat kejadian untuk menarik sebuah Perodua Viva milik suspek yang mempunyai lima bulan tunggakan.

Beliau berkata, mangsa diserang pemandu dan penumpang kereta itu menggunakan parang.

“Bagaimanapun, dua lagi rakan mangsa bergegas keluar dari kereta Proton Saga BLM dinaiki mereka untuk menyelamatkan diri manakala mangsa dikejar dan ditetak suspek berdekatan perhentian bas.

“Suspek antara tiga hingga empat lagi lelaki memecahkan cermin depan dan belakang serta membocorkan tayar kereta mangsa sebelum melarikan diri,” katanya di sini, semalam.

Menurut Abdul Samah, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu terus menghubungi polis.

Disiarkan pada: October 1, 2015 @ 6:18am
d