mutakhir

Cari tujuh murid hilang sampai dapat

Kuala Lipis: Kerajaan tidak menetapkan tarikh penamat dalam operasi mencari tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang, Kelantan, yang hilang sejak 23 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah II Datuk Ahmad
Jazlan Yaakub berkata, operasi itu akan diteruskan sehingga berjaya kerana ia tanggungjawab dan tanda keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat Orang Asli.

“Walaupun kos dibelanjakan untuk mencari bukannya kecil, kita akan teruskan usaha mencari tidak kisah sebanyak mana kita belanjakan asalkan ibu bapa mangsa dapat bertemu semula dengan anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Lawatan Kerja dan Ramah Mesra Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Lanai dan Program Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil (PROSDET) Kampung Pantos, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang, Isa Abdul Hamid.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengarahkan kawasan pencarian diperluaskan dari kawasan hutan ke bandar kecil berhampiran seperti Gua Musang dan Cameron Highlands, Pahang.

Selain itu, kawasan pencarian di kawasan hutan berbukit Pos Tohoi juga diperluaskan dari 80 kilometer (km) kepada 140km.

Disiarkan pada: October 2, 2015 @ 7:20am
d