mutakhir

Abai 'bising' di Malaysia

Oleh BERNAMA

New York: Di luar perbahasan umum Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Seri Najib Razak mengadakan mesyuarat sambil bersarapan pagi dengan beberapa pengurus dana Amerika Syarikat (AS), menggesa mereka mengabaikan bunyi ‘bising’ di Malaysia berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sebaliknya melihat asas ‘sebenar’ daya tahan ekonomi dalam keadaan tidak menentu.

Beliau makan tengah hari dengan pemimpin perniagaan AS, mengetengahkan indeks daya saing positif Malaysia seperti yang disahkan oleh gensi penarafan utama seperti Moody’s, Standard & Poor’s dan Fitch, serta pengumuman Bloomberg Malaysia pasaran pesat membangun kelima yang menjanjikan peluang besar di dunia.

“Kerajaan akan terus kekal,” kata Perdana Menteri.

“Saya tidak bergegas pulang kerana bimbang saya kehilangan kerja atau sesuatu seperti itu,” katanya dan menambah kerajaan berkhidmat mengikut mandat lima tahun sebelum pilihan raya akan datang.

Semasa di New York, Najib menghadiri pelbagai mesyuarat di ibu pejabat PBB. Beliau menyampaikan ucapan pada perbahasan umum sebelum berlepas ke Milan untuk satu lagi lawatan kerja ke Itali.

Mengenai 1MDB, Najib berkata, syarikat itu dijangka mengumumkan pengurangan jumlah hutangnya RM16 bilion dalam beberapa hari lagi.

Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan kerajaan memerlukan enam bulan hingga akhir tahun untuk mengurangkan hutang dan memulihkan syarikat berkenaan.

“Bank Negara mengumumkan tidak ada risiko sistemik berkaitan 1MDB. Kami mempunyai lebih banyak aset berbanding liabiliti”, katanya.

Mengenai cadangan penjualan Edra Global Enegry Berhad Najib berkata, kini sudah ada tawaran menarik untuk cabang penjanaan tenaga 1MDB itu.

“Oleh itu saya yakin menjelang akhir tahun, kami menunjukkan 1MDB pada asasnya perbadanan yang mampu melalui proses rasionalisasi dan mengurangkan hutangnya yang besar,” katanya.

Najib menjelaskan model perniagaan 1MDB berasaskan konsep “IPO pantas” dan tidak menggunakan banyak dana kerajaan.

Beliau berkata, petunjuk pada masa ini baik untuk ekonomi Malaysia namun, ‘tahap bunyi bising’ mungkin tidak menunjukkan kedudukan sebenar.

Mengenai demonstrasi Bersih 4 dan protes susulan anti-Bersih di Kuala Lumpur baru-baru ini, Najib berkata walaupun dua rali berlaku, kestabilan politik kukuh di Malaysia.

Najib berkata, demonstrasi dikawal dengan baik polis tanpa menggunakan tindakan tegas.

“Berasaskan demokrasi yang matang, kami perlu membenarkan sedikit ruang perbezaan pandangan. Kami berharap mereka berfikiran rasional.

“Pilihan raya berikut hanya pada 2018. (Sehingga itu) kami meneruskan agenda untuk negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan membuat keputusan dan tidak popular untuk manfaat rakyat.

Disiarkan pada: October 2, 2015 @ 10:36am
d