mutakhir

Tarik lesen niaga langkah bernas

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Kuala Lumpur: Tindakan tegas yang diperkenalkan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Sabah, baru-baru ini, untuk menarik balik lesen dan menyenaraihitamkan peniaga yang menjual barang seludup khususnya rokok dan arak dilihat paling efektif untuk memerangi gejala itu.

Dengan penguatkuasaan tegas itu, peniaga bukan sekadar berdepan risiko didenda atau dipenjara, malah boleh ‘gulung tikar’ apabila lesen perniagaan mereka ditarik.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) wajar mencontohi langkah MPS dalam usaha memastikan kegiatan rokok dan arak seludup dapat dibanteras sepenuhnya.

Ini kerana, dalam tempoh tiga hari Op Outlet bermula Isnin lalu, seramai lapan peniaga ditahan dalam operasi yang dijalankan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Terengganu, Pulau Pinang, Melaka, Perak, Kuala Lumpur dan Sarawak.

Di Ipoh, Perak, seorang pemilik kedai runcit berusia 60 tahun ditahan penguat kuasa JKDM selepas serbuan menemui 314 peket atau 5,728 batang rokok seludup disembunyikan di premisnya di Gunung Rapat, Selasa lalu.

Peniaga itu cuba menyorokkan ratusan rokok seludup putih dan keretek pelbagai jenama di bawah rak jualan yang ditutup dengan rempah, tepung dan barang runcit lain.

Op Outlet 2.0 itu turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Serbuan dijalankan secara serentak membabitkan tiga pasukan di tiga lokasi berasingan sekitar bandar raya ini hasil maklumat awam dan risikan pihak berkuasa iaitu di Gunung Rapat, Ampang serta Simpang Pulai.

Serbuan di sebuah pasar mini di Chandan Desa, Simpang Pulai pula berjaya menemui 68 peket (1,184 batang) rokok seludup dan menahan seorang warga Indonesia berusia 55 tahun.

Sementara itu, satu lagi serbuan berjaya membuat rampasan terbesar dengan menemui sebanyak 1,180 peket (20,012 batang) rokok seludup di sebuah premis di Kampung Sengat di Simpang Pulai.

Dalam serbuan itu, seorang warga Indonesia yang tiada dokumen pengenalan diri atau permit kerja ditahan kerana dipercayai menyimpan dan menjual ribuan rokok seludup berkenaan.

Ketiga-tiga individu yang ditahan itu difahamkan akan didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sehubungan itu, JKDM memberi amaran kepada peniaga supaya tidak terbabit dalam penjualan rokok seludup kerana mereka berdepan tindakan tegas jika ditangkap, malah jika semua PBT mengambil langkah sama seperti MPS, peniaga boleh hilang punca rezeki mereka.

Disiarkan pada: October 2, 2015 @ 11:05am
d