mutakhir

Keadaan cuaca cabar penerjun Menara KL

Kuala Lumpur: “Perasaan takut pasti ada setiap kali melakukan aksi, tetapi saya akan alihkan tumpuan dan mula fokus pada terjunan yang dilakukan.

“Saya tidak melakukan banyak terjunan untuk menjaga stamina dan mengelakkan kecederaan,” kata Azuan Taharudin, 43 , seorang daripada 120 peserta dalam dan luar negara yang beraksi dalam acara terjunan BASE ‘Kuala Lumpur Tower International Jump 2015 (KLTIJM 2015)’, semalam.

Beliau berkata, dia sudah berkecimpung dalam sukan ekstrem ini selama enam tahun dan sudah melakukan lebih 300 terjunan bebas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Meor Shahril Anuar berkata, keadaan cuaca sekarang memberi sedikit cabaran kepada penerjun sukan lasak ini, namun keputusan untuk melakukan terjunan itu bergantung kepada ‘Master Jump’.

“Setiap keputusan akan ditentukan oleh ‘Master Jump’. Ia bergantung pada keadaan angin, cuaca dan jarak penglihatan kerana ia memainkan peranan penting sama ada kita boleh teruskan atau tidak. Setiap hari kita akan buat perkara ini kerana jaminan keselamatan adalah keutamaan dalam aktiviti terjunan,” katanya.

Menurutnya, acara yang memasuki tahun ke-15 ini menerima penyertaan teramai dan ia sejajar dengan hasrat menjadikan sukan ekstrem ini sebagai satu tarikan kepada peminat terjunan BASE dari serata dunia dan membawa mereka mengenali Malaysia dengan lebih dekat.

Meor berkata, pakej istimewa ‘Sitting on the Ledge’ ditawarkan kepada pengunjung bagi menyaksikan kehebatan penerjun melakukan aksi ekstrem dan mendebarkan secara dekat pada waktu siang dan malam di Pelantar Terbuka pada ketinggian 300 meter.

“Pengunjung berpeluang menyaksikan acara terjun secara langsung selama 45 minit bermula 9 pagi sehingga 6 petang dan 8 malam sehingga 10 malam dengan harga tiket dari RM99 sehingga RM199,” katanya.

Acara itu akan berakhir Ahad ini.

Disiarkan pada: October 3, 2015 @ 5:40am
d