mutakhir

SMK Tamparuli raih RM50,000

Kuala Lumpur: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli dari Tuaran, Sabah, memenangi hadiah wang tunai RM50,000 selepas meraih tempat pertama dalam PETRONAS All About Youth (AAY) 2015, baru-baru ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, pasukan dari sekolah itu memberi impak dengan projek yang dikenali sebagai ‘Awas! Bahaya di Hadapan ‘(Caution! Danger Ahead).

Katanya, projek itu bagi mewujudkan satu sistem amaran banjir yang dipasang di kawasan berkedudukan rendah dari Jambatan Tamparuli untuk keselamatan dan kemudahan pengguna.

“Ini kerana jambatan berkenaan sering dinaiki air selepas hujan lebat dan menimbulkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

“Sistem amaran itu dilengkapi sensor automatik yang akan mengaktifkan satu papan tanda LED pada kedua-dua hujung jambatan secara berkelip, ‘Awas! Bahaya di Hadapan’ dan sistem ini juga berhubung dengan balai polis terdekat untuk menutup jambatan itu jika air naik ke paras bahaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sekolah berkenaan bercadang menggunakan hadiah wang tunai itu sebagai dana membaik pulih sekolah manakala setiap ahli pasukan menerima RM1,000 yang didepositkan ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berserta hadiah wang tunai RM200, piala dan sijil.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, usaha PETRONAS memperkasakan belia melalui PETRONAS AAY adalah contoh kepada syarikat lain untuk membangunkan inisiatif CSR yang berkesan.

“Saya percaya konsep memperkasakan belia yang menjadi tulang belakang kepada program ini akan menjadi trend untuk masa depan,” katanya.

Naib juara dimenangi SMK St Teresa dari Kuching, Sarawak dengan setiap pelajar menerima RM800 simpanan SSPN, hadiah bernilai RM200, piala dan sijil manakala SMK Padang Midin dari Kuala Terengganu, Terengganu memenangi hadiah ketiga dengan setiap pelajar menerima RM600 simpanan SSPN, hadiah bernilai RM200, trofi dan sijil.

Disiarkan pada: October 3, 2015 @ 5:42am
d