mutakhir

Sekat 'emas hitam'

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sumbat dadah di dalam beg tangan, kasut dan anak patung kanak-kanak sebelum diseludup masuk ke Malaysia.

Itu antara taktik digunakan sindiket pengedaran dadah ‘emas hitam’ didalangi 13 warga Afrika yang menyamar sebagai pelajar untuk berada dan menjalankan kegiatan jenayah di negara ini.

Kegiatan licik suspek bagaimanapun dibongkar selepas Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman melakukan serbuan di sembilan lokasi berasingan bermula 8 September hingga 30 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, pihaknya menahan 14 lelaki warga Afrika berusia 27 tahun hingga 40 tahun yang bergiat aktif menyeludup masuk pelbagai jenis dadah berasal dari China.

“Serbuan dilakukan di Sentul, Bukit Jalil, Cyberjaya, Sri Kembangan, Sri Damansara, Bukit Jelutong, Pelabuhan Klang dan Bandar Baru Bukit Puchong,Selangor.

“Sindiket itu menyeludup dadah jenis syabu, heroin dan kokain menggunakan perkhidmatan kurier yang disembunyikan di dalam kasut, beg tangan dan anak patung,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, disini, semalam.

Beliau berkata, polis merampas dadah syabu seberat 16 kilogram (kg), heroin (250 gram) dan kokain (75 gram).

Menurutnya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM5 juta.

“Hasil siasatan, lapan daripada suspek mempunyai visa pelajar, namun menyalahgunakan visa.

“Polis percaya dadah itu turut dieksport ke Australia dan Indonesia berikutan harganya lebih mahal di negara itu,” katanya.

Mohd Mokhtar berkata, semua suspek direman tujuh hari.

“Kejayaan ini hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Drug Enforcement Administration (DEA) Amerika Syarikat. Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2015 @ 6:07am
d