mutakhir

Bertamu ke rumah hantu

Oleh Rizanizam Abdul Hamid dan Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: Bagi merasai pengalaman kumpulan Mr Zam Extreme Ghosthunter melakukan ‘hobi’ mencari makhluk halus, wartawan sempat menyertai mereka menerjah banglo usang di Jalan Gombak Lama atau lebih dikenali masyarakat luar sebagai Balai Gombak.

Menurut ketua kumpulan Noraizam Ali Budin, 40, itu kali pertama wartawan menyertainya dan tiga ahli kumpulannya iaitu Norzamri Ali Budin, 36; Mohd Aidil Mohd Abdullah, 28, dan Nur Suriani Che Hussain, 24, dalam misi mencari makhluk halus sejak penubuhan kumpulan berkenaan 15 tahun lalu.

“Walaupun aktiviti kami ini pernah keluar televisyen, akhbar dan majalah, belum ada wartawan y menyertai misi terjah hantu bersama kami sebelum ini.

“Sebenarnya kami juga tidak terlalu berani dalam melakukan perkara ini, tetapi memberanikan diri kerana mahu merungkai misteri seperti didakwa orang ramai,” katanya, di sini baru-baru ini.

Selepas membuat sedikit persiapan, jam 11.45 malam, wartawan bersama jurugambar Asyraf Sawal bertolak dari tempat pertemuan kami bersama kumpulan paranormal berkenaan ke lokasi ditetapkan.

Bagi memastikan kelancaran misi terjah itu, Noraizam turut membawa penduduk tempatan, Husni Ab Rani, 32, yang lebih memahami selok belok kawasan banglo berkenaan.

Bagaimanapun Norzamri tidak dapat menyertai misi kali ini.

Sepanjang perjalanan, kami mengekori Perodua Alza dipandu Mohd Aidil sambil Noraizam sekali kala dilihat mengeluarkan kamera video ke luar cermin untuk merakam apa saja imej dan suara yang mereka panggil ‘footage’ untuk membuktikan kehadiran makhluk halus.

Sekitar jam 12.20 pagi, kami tiba di banglo yang dimaksudkan dan selepas memastikan semua kelengkapan siap dipasang, Noraizam mengetuai ‘kunjungan’ itu berbekalkan lampu suluh dan kamera video di tangan.

Menurutnya, walaupun beberapa kali berkunjung ke banglo berkenaan, perasaan teruja dan seram tetap dirasai.

“Kami harap kunjungan kali ini mendapat lebih banyak ‘footage’ untuk dikongsikan di YouTube yang mempunyai 20 juta tontonan melalui puluhan video dan imej dirakam sebelum ini.

“Saya tidak kata imej saya itu betul-betul makhluk halus, tetapi lebih suka menggunakan perkataan ‘mungkin’ supaya orang dapat menilainya sendiri,” katanya sambil memerhatikan kami yang berjalan di belakangnya.

Bagi kami yang kali pertama menjejakkan kaki ke banglo setingkat separuh batu dan separuh kayu itu, perasaan seram sukar dielakkan lebih-lebih lagi apabila melihat keadaan rumah usang dan hutan di sekelilingnya.

Setelah hampir satu jam berlegar di dalam dan luar banglo berkenaan, kami belum dapat merakam apa yang dihajati kecuali beberapa bunyi pelik yang mungkin suara burung atau haiwan lain di sekitar kawasan itu.

Seakan-akan tidak puas dengan apa diperolehi itu, Noraizam tiba-tiba meminta Husni membawa kami meredah hutan di belakang banglo berkenaan untuk menjenguk perigi lama yang didakwa berpenunggu.

“Saya belum pernah ke sana, tetapi tadi saya terdengar bunyi suara mengilai jadi mungkin kalau kita ke sana boleh dapat footage lebih jelas.

“Jangan takut, kita bukan nak kacau ia, cuma nak rakam saja,” katanya kepada kami selepas melihat reaksi terkejut dengan tindakannya.

Dalam hati saya ketika itu, timbul bermacam-macam perasaan termasuk menganggap tindakan itu ‘kerja gila’ kerana di luar batasan manusia biasa yang sepatutnya lari apabila terdengar suara makhluk halus.

Sepanjang 20 minit meredah hutan, kami bertiga mendiamkan diri dan berhati-hati untuk mengelak terpijak haiwan berbisa sehinggalah kami tiba di satu kawasan air terjun.

“Selagi kami rasa selamat, kami redah apa saja untuk temui apa dicari. Tidak kisah berapa kali pun kami sanggup datang semula ke sini sebab penat hanya hilang apabila kami dapat lihat ‘footage’.

“Kami juga mahu orang lain berpuas hati dengan kerja kami walaupun tidak dapat satu sen pun daripada mereka,” kata Aidil yang tiba-tiba membuka mulut setelah berdiam diri sejak awal tadi.

Selepas meluangkan masa selama 15 minit merakamkan beberapa keping gambar dan video, kami beredar dan menuju semula ke banglo berkenaan.

Ketika itu, jam menunjukkan 2.35 pagi, tetapi ketiga-tiga mereka langsung tidak kelihatan letih walaupun ‘bekerja’ sejak jam 10 pagi untuk membuat persiapan berkunjung ke banglo berkenaan pada sebelah malamnya.

Menurut Noraizam, menjadi kebiasaan sebelum masuk ke kawasan, mereka bertiga membuat tinjauan dahulu pada waktu siang untuk memastikan tiada halangan seperti paku, kaca dan sebagainya.

“Kami fikir bahaya dari pelbagai sudut dan lebih baik kami tidak cukup tidur daripada penat menyelesaikan masalah yang disebabkan kecuaian,” katanya.

Selepas berpuas hati merakam berpuluh-puluh keping imej dan video menggunakan empat kamera, kami meninggalkan banglo usang itu sekitar jam 3.30 pagi dengan harapan semua rakaman itu mempunyai bukti seperti dikehendaki.

“Harap-harap dapatlah ‘footage’ yang kami mahu, baru berbaloi dan boleh hilang penat hari ini.

“Tapi kalau kami belum dapat apa dicari, kami datang lagi sehinggalah entiti itu menjelma dalam rakaman lensa kamera kerana kami tahu ia ada di situ cuma mungkin belum masanya menonjolkan diri,” kataNoraizam.

Disiarkan pada: October 4, 2015 @ 5:10am
d