mutakhir

10 kali diserbu

Johor Bahru: Sebuah pusat hiburan di Stulang Laut di sini, berdegil masih menawarkan khidmat pelacur warga asing walaupun sudah 10 kali diserbu polis.

Ini terbukti apabila sepasukan anggota Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menyerbu premis itu kira-kira jam 8 malam kelmarin dan menahan 31 wanita warga asing.

Pegawai Turus D7 IPK Johor Deputi Superintendan Adzli Abu Shah berkata, 29 wanita Vietnam dan dua warga China ditahan dalam serbuan diketuai Asisten Superintenden Mohd Zairi Badrol bersama dua pegawai dan tujuh anggota.

Katanya, pemeriksaan terhadap wanita berusia 17 hingga 43 tahun mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen seperti menyalahgunakan pas lawatan sosial, tiada permit kerja dan tiada dokumen perjalanan sah.

“Kita percaya mereka turut menawarkan khidmat seks kepada pengunjung dengan bayaran antara RM100 hingga RM150 bagi sekali perkhidmatan,” katanya.

Dia berkata, soal siasat mendapati pelacur itu dikenakan bayaran RM10 seorang oleh penjaga premis hiburan untuk berada di situ bagi mencari pelanggan.

“Pusat hiburan ini pernah diserbu lebih 10 kali, tetapi masih berdegil dengan membenarkan pelacur warga asing dikaitkan dengan kegiatan persundalan.

“Seorang penjaga premis warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya semua tahanan dibawa ke IPK Johor untuk tindakan lanjut.

Menurut Adzli, polis turut menyelamatkan seorang gadis Vietnam berumur 17 tahun mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dalam serbuan itu.

Disiarkan pada: October 4, 2015 @ 5:12am
d