mutakhir

Kenang jasa Tan Sri Yuen perangi Chin Peng

Nilai: “Tidak boleh kita (rakyat Malaysia) lupakan sumbangannya kepada negara, amat berharga sekali,” kata bekas Panglima Angkatan Tentera Ke-7, Jeneral (B) Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali mengulas mengenai jasa dan pengorbanan bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Tan Sri Yuen Yuet Leng.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada upacara penghormatan terakhir dan persemadian mendiang Yuen di Taman Peringatan Xiao En di sini, jam 12.15 tengah hari, semalam.

Mendiang yang berusia 88 tahun meninggal dunia di kediaman anaknya di The Mines, Seri Kembangan, Selangor, kira-kira jam 6 pagi Khamis lalu, akibat kegagalan jantung.

Mohamed Hashim berkata, mendiang adalah wira negara yang turut sama menentang ancaman komunis di Sibu, Sarawak dan bertanggungjawab mengadakan pertemuan dengan pemimpin komunis di China sebelum Perjanjian Damai Hatyai 1989 ditandatangani.

Menurutnya, sumbangan itu bukan saja kepada Sarawak, tetapi secara keseluruhan kepada Malaysia kerana pada tahun itu pemimpin komunis iaitu Chin Peng menyerah diri.

“Saya masih ingat ketika itu saya adalah Panglima Pemerintahan Keselamatan Kawasan Rajang (RASCOM) di Sibu dan mendiang adalah Ketua Cawangan Khas dan Perisikan. Kami bekerja sangat rapat demi menentang ancaman komunis.

“Mendiang memainkan peranan amat penting pada masa itu demi menghapuskan pemberontakan dan ancaman komunis sehingga akhirnya saya bersama Tun Mohammed Hanif Omar (bekas Ketua Polis Negara) dan Tan Sri Wan Sidek Wan Abdul Rahman menandatangani perjanjian damai itu,” katanya.

Beliau berkata, jasa dan pengorbanan mendiang tidak dapat dilupakan dan beliau amat bersedih dengan kehilangan mendiang yang juga rakan karibnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, pemergian Yuen bukan saja kehilangan besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), malah kepada negara.

Abu Zahar berkata, mendiang adalah seorang pegawai polis yang profesional, berintegriti dan memberi sumbangan besar kepada keamanan serta keharmonian negara sekarang ini.

“Mendiang adalah rakyat Malaysia yang sukar dicari ganti. Beliau tidak memandang perbezaan agama dan keturunan kerana beliau sendiri daripada keluarga merendah diri. Baginya, apa yang penting adalah matlamat untuk menjaga keamanan dan keharmonian negara,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2015 @ 5:14am
d