mutakhir

'Ini bukan caranya'

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: “Tindakan untuk memberhentikan anak bersekolah kerana bimbang keselamatan berikutan ancaman ceti haram tidak menyelesaikan masalah, malah ia memberi kesan buruk kepada psikologi kanak-kanak itu.”

Tegas Pakar Motivasi Dr Rubiah Hamzah ketika mengulas laporan Harian Metro semalam, berhubung tindakan seorang lelaki berusia 42 tahun yang mengambil keputusan menghentikan sesi persekolahan anaknya atas faktor keselamatan.

Menurutnya, bapa berkenaan perlu memikirkan cara lain bagi memastikan anaknya terus bersekolah dan bukannya mengambil keputusan drastik.

“Kita faham tekanan yang dihadapi boleh bapa itu selepas menghadapi ancaman ceti haram. Terdapat beberapa cara antaranya meletakkan anak di bawah penjagaan orang lain atau semua anaknya itu boleh tinggal di asrama sekolah.

“Cara itu juga akan mengurangkan risiko keselamatan anaknya selain mengemukakan laporan polis supaya tindakan susulan dapat diambil,” katanya, ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Menerusi laporan semalam, lelaki berkenaan yang mahu dikenali sebagai Yazid turut berbelah bagi dengan tindakannya itu, namun berasakan bahawa itu saja cara yang ada demi memastikan keselamatan anaknya.

Ancaman daripada ceti haram itu diterima hampir setiap hari selain mereka turut mengatakan akan mencederakan keluarganya jika baki hutang tidak dijelaskan dalam tempoh terdekat.

Rubiah berkata, tindakan menghentikan persekolahan anaknya itu akan memberi kesan buruk terhadap masa depan mereka sekali gus memberi impak psikologi negatif kepada mereka.

“Kesempatan untuk menuntut pelajaran ini tidak boleh diulang, tindakan menghentikan persekolahan kanak-kanak itu mungkin juga memperjudikan masa depan mereka.

“Cara lain, bapa itu juga boleh memindahkan anaknya ke sekolah lain dan meletakkan di bawah penjagaan saudara mara sementara menunggu tindakan dapat diambil terhadap ceti haram itu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat di luar sana supaya tidak melakukan keputusan terburu-buru dan sentiasa mendapatkan pandangan daripada pihak lain.

Menurutnya, terdapat pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkuasa yang boleh dirujuk berhubung masalah ini dan langkah keselamatan boleh diambil jika berdepan dengan ancaman.

Disiarkan pada: October 4, 2015 @ 5:15am
d