mutakhir

Jatuh tingkat 3

Oleh Siraj Mohd Zaini

Kuala Lumpur: Seorang wanita dipercayai kekasih pemain bola sepak pasukan Liga Super parah selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama ketika cuba melarikan diri bagi mengelak dicekup warden asrama pusat latihan, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi, pemain berusia 21 tahun itu dikesan membawa masuk wanita berusia 20 tahun ke bilik penginapannya di tingkat tiga asrama itu.

Bagaimanapun, tindakan lelaki itu yang menggunakan lif pengangkut barangan dihidu warden asrama menerusi kamera litar tertutup (CCTV).

Menurut sumber, warden bersama beberapa anggota keselamatan mengadakan pemeriksaan dari bilik ke bilik.

Katanya, pada mulanya lelaki terbabit ditemui seorang diri di dalam bilik sebelum penghuni yang nyenyak tidur dikejutkan dengan bunyi bising di tingkat satu asrama.

“Warden melakukan pemeriksaan di tingkat satu sebelum menjumpai wanita terbaring kesakitan.

“Wanita terbabit dipercayai individu sama dikesan dibawa masuk pemain bola sepak,” katanya.

Sumber berkata, pemeriksaan mendapati wanita itu terjatuh dari tingkat tiga dipercayai cuba melarikan diri bagi mengelak ditangkap selepas pemain lelaki terbabit mendengar pemeriksaan mengejut dilakukan dari bilik ke bilik.

“Wanita yang juga pelajar jurusan farmasi itu patah tulang betis, pergelangan kaki serta berkemungkinan tulang belakang. Mangsa kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

“Pemain bola sepak berkenaan ditahan di bahagian keselamatan asrama sehingga siasatan selesai dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2015 @ 5:15am
d