mutakhir

Ketuk rumah sewa

Johor Bahru: Seramai 19 warga asing termasuk lima wanita dan lapan kanak-kanak ditahan Bahagian Penguat kuasa Imigresen Johor dalam satu serbuan di rumah sewa sekitar Kampung Plentong Baru, Masai di sini, pagi semalam.

Dalam Ops Sapu yang diadakan kira-kira jam 1.30 pagi, semua warga asing berusia antara tiga hingga 42 tahun itu ditahan kerana disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Johor Rashidin Rahmat berkata, operasi dianggotai 50 pegawai dan anggota itu dibuat di kawasan berkenaan selepas menerima aduan orang awam yang tinggal di perkampungan terbabit.

“Kita melakukan serbuan ini dan fokus bagi mengesan warga asing yang tinggal di rumah sewa tanpa pas dan permit yang sah.

“Tindakan menyerbu lokasi berkenaan hasil aduan orang awam yang tinggal di perkampungan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, serbuan terbabit berjaya menahan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan 11 daripadanya warga Indonesia, manakala selebihnya adalah warga Myanmar.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada enam lelaki dewasa, lima wanita, lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

“Mereka yang ditahan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Semua ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Setia Tropika di sini, untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2015 @ 5:54am
d