mutakhir

Dah langgar, minta maaflah!

Oleh Mohd Hilmi Mahmud

Georgetown: “Saya mahu orang yang langgar suami datang berjumpa kami sekeluarga untuk meminta maaf dan bertanggungjawab dengan apa yang dilakukannya,” kata isteri kepada Mohamad Ariff Asyraff, 26, yang kini terlantar di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dilanggar sebuah kereta berhampiran stesen minyak di Jalan Green Lane, di sini, pagi kelmarin.

Nurul Assiken Aramji, 25, berkata, suaminya yang bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas itu dalam perjalanan ke tempat kerja dengan menunggang motosikal.

“Sebelum kejadian saya dan suami keluar bersama namun dia menunggang motosikal manakala saya memandu kereta disebabkan kami mahu ke tempat yang berbeza.

“Saya nampak suami berhenti di stesen minyak dan selepas itu kami berdua berpisah dari laluan yang sama,” katanya ketika ditemui di HPP, semalam.

Menurutnya, selepas setengah jam mereka berdua berpisah di Jalan Green Lane, dia menerima panggilan telefon dari HPP yang meminta dia datang segera ke hospital.

“Saya sepatutnya ke pusat memandu untuk mengambil lesen namun terpaksa berpatah balik dan terus menuju ke hospital,” katanya.

Dia berkata, setibanya di hospital, dia dimaklumkan ahli keluarga yang lain berhubung kejadian yang menimpa suaminya itu.

“Sebaik tiba di hospital, ibu datang meluru ke arah saya memberitahu suami sedang dirawat di bilik kecemasan akibat dilanggar,” katanya.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Mohamad Ariff dilanggar sebuah kereta namun pemandunya dikatakan melarikan diri.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa koma hampir 10 jam, patah paha kanan dan tulang pinggul tercabut.

Sementara itu, Mohamad Ariff berkata, dia tidak ingat apa yang berlaku dan hanya sedar ketika berada di atas katil di hospital dengan kakinya yang cedera.

“Selepas sedar, saya sudah tidak ingat apa-apa berhubung kemalangan itu.

“Ketika mahu bangun, saya berasa sakit dan melihat bahagian perut sudah berjahit serta ada kesan pembedahan,” katanya.

Menurutnya, dia berharap orang yang melanggarnya itu dapat memohon maaf dan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku.

Disiarkan pada: October 5, 2015 @ 5:57am
d