mutakhir

Insentif ambil bekas banduan

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Kerajaan bersedia mempertimbangkan memberi insentif cukai kepada syarikat korporat terutama pasar raya besar yang mengambil bekas banduan sebagai pekerja mereka.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, perkara berkenaan belum lagi dibincangkan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Pada hemat saya kami boleh melakukan beberapa perundingan untuk memberikan insentif cukai kepada syarikat berkenaan terutama pasar raya besar yang mengambil pekerja daripada bekas banduan.

“Mereka yang bekerja ini dipantau atau dipulihkan melalui Lembaga Parol,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program U-Turn Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah di sini, semalam.

Program U-Turn yang menyentuh aspek kerohanian berkaitan bimbingan persiapan banduan praparol dan ketika menjalani parol adalah kerjasama strategik antara KDN, TV AlHijrah, Jabatan Penjara Malaysia dan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB).

Program 13 episod yang meliputi rakaman di seluruh penjara Malaysia seperti Penjara Seremban, Penjara Wanita Kajang dan premis PNMB itu dikendalikan dua tokoh pendakwah iaitu Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz.

Sistem parol adalah satu kaedah pelepasan secara perintah parol di mana banduan yang layak boleh memohon untuk menjalani hukuman di luar penjara bagi hukuman berbaki tiga tahun atau hukuman kurang daripada tiga tahun.

Ahmad Zahid berkata, sistem parol berjaya membantu mengurangkan kadar jenayah berulang 7.6 peratus tahun ini dan ia satu contoh terbaik apabila banduan dapat menjalani pelbagai program pemulihan ke arah kehidupan lebih baik.

“Ini adalah kejayaan bahawa di dalam penjara bukan tempat untuk melaksanakan hukuman tetapi yang penting ialah melakukan pemulihan,” katanya.

Menurutnya, sistem parol yang diperkenalkan sejak 2008 disifatkan sebagai peluang kedua kepada banduan untuk bergaul dengan masyarakat dan ia perlu mendapat kerjasama serta sokongan pelbagai pihak.

Katanya, sistem itu turut dilakukan dengan kerjasama beberapa syarikat korporat dan pendakwah dalam usaha untuk memulihkan banduan selain pembabitan Polis Diraja Malaysia serta Agensi Antidadah Kebangsaan.

Beliau berkata, program itu memperlihatkan kesan positif apabila kadar jenayah terancang menurun 52 peratus.

Disiarkan pada: October 5, 2015 @ 6:04am
d