mutakhir

'Raja' sindiket tumpas, dadah RM1j dirampas

Kuala Lumpur: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman sekali lagi berjaya menumpaskan ‘raja’ sindiket dadah hasil rampasan 469 kilogram ganja dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

Difahamkan polis menahan tiga individu dipercayai dalang sindiket itu hasil serbuan dilakukan di Kuala Selangor, semalam.

Bungkusan ganja mampat itu ditemui selepas polis menahan suspek dan merampas dua kenderaan pelbagai guna yang membawa ganja itu.

Kejayaan rampasan itu turut mendapat perhatian Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memuji tindakan pasukan STING sehingga menumpaskan sindiket berkenaan.

“Syabas STING @PDRMsia tadi tangkap tiga orang dan rampas dua MPV dengan muatan lebih 469 Kilogra ganja di Kuala Selangor,” kata Khalid menerusi laman Twitternya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.

Sebelum ini STING turut merampas 12 kilogram dadah jenis syabu, heroin dan kokain serta menahan 12 lelaki warga Afrika di Pelabuhan Klang, Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur minggu lalu.

Semua dadah bernilai RM5 juta itu dipercayai diseludup masuk ke negara ini untuk pasaran tempatan dengan disembunyikan di dalam beg, kasut dan anak patung.

Suspek dikesan menggunakan khidmat penghantaran kurier untuk menyeludup dadah berasal dari China itu.

Disiarkan pada: October 5, 2015 @ 6:10am
d