mutakhir

4 layak ke final AF2015

Shah Alam: Seperti dijangka tiada kejutan berlaku pada peringkat separuh akhir program Akademi Fantasia 2015 (AF2015) apabila dua peserta iaitu Rachel, 23, dan Lisa, 22, gagal mara ke peringkat akhir selepas mendapat undian terendah pada persembahan minggu kesembilan yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, malam tadi.

Keputusan itu melayakkan Sufi, 24, Bila, 19, Syameel, 22, dan Shahrul, 19, mara ke peringkat akhir yang bakal diadakan di lokasi sama pada 11 Oktober ini.

Pada saingan peringkat separuh akhir itu, Syameel dan Bila mendapat sorakan gemuruh daripada penonton kerana berjaya memberikan persembahan bertenaga dan mantap.

Mereka turut mendapat pujian dan komen positif daripada juri yang terdiri daripada juri tetap Datuk Ramli MS serta juri jemputan iaitu Datuk AC Mizal dan Fauziah Ahmad Daud.

Untuk tugasan solo, Syamel mempersembahkan lagu Cinta Yang Sempurna nyanyian Qanda, Sufi (Untukmu Ibu, nyanyian Exist), Shahrul (Gadis Jolobu, nyanyian Waris dan Datuk Hattan), Bila (Girl On Fire, nyanyian Alicia Keys), Rachel (Hi Hi Bye Bye nyanyian Cyndi Wang) dan Lisa (Masih Cinta) nyanyian Kotak.

Tugasan lagu duet pula, Syameel membawakan lagu In Love With You bersama penyanyi Aizat Amdan, Sufi (Seluruh Cinta bersama Aisyah Aziz), Shahrul (Tak Kenal Maka Tak Cinta bersama Nurul Depp), Bila (Pening bersama Bob AF), Rachel (Hati Ini Telah Dilukai bersama Azhael) dan Lisa (One Sweet Day bersama Forteen).

Disiarkan pada: October 5, 2015 @ 6:20am
d