mutakhir

Saksi dakwa Yazid semai Salafi Jihadi

Kuala Lumpur: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat didakwa menyemai fahaman Salafi Jihadi dan mencetuskan gerakan jihad bersenjata yang boleh menggugat keselamatan negara.

Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zamihan Mat Zin Al-Ghari, 39, berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Menurutnya, hasil analisis terhadap rakaman audio dan transkrip usrah yang diadakan pada 21 Julai 2012, menunjukkan penceramah (Yazid) menyebarkan ilmu agama secara salah dan memanipulasikan maksud jihad serta al-Quran.

“Penceramah memanipulasi ayat al-Quran (Surah An-An’am 116) untuk menyatakan sistem demokrasi adalah rasuah kepada rakyat. Selain mentafsir al-Quran secara literal (secara zahir).

“Penceramah juga menghasut peserta usrah untuk membenci kerajaan atas alasan negara ini bekerjasama dengan Amerika (Syarikat) menangkap tentera mujahidin dan menggalakkan peserta untuk berjihad di medan perang dan serta berlatih ala tentera,” katanya.

Zamihan berkata, penceramah menggunakan doktrin Salafi Jihadi seperti kafir, syirik, munafik dan ‘toghut’ untuk menarik perhatian peserta usrah membenci sesama Islam serta bukan Islam.

“Penceramah menggunakan ideologi ini untuk menggalakkan dan menghasut peserta terbabit dalam perbuatan pengganas dengan membangkitkan semangat berjihad, membelanjakan harta dan bersedia untuk mati syahid.

“Sekiranya seseorang itu menerima dan mempraktikkan fahaman atau ideologi yang diberikan oleh penceramah mereka mampu melakukan tindakan kekerasan yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Menurutnya, doktrin radikal dan ekstremis yang dianuti mampu memburukkan imej Islam.

Disiarkan pada: October 6, 2015 @ 5:36am
d