mutakhir

Rembat empat rim

Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Seorang peniaga atas talian kehilangan empat ‘sport rim’ kereta selepas dilarikan dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal dalam kejadian di kawasan perumahan PKNS Batu 6, di sini, petang Selasa lalu.

Kejadian dipercayai berlaku antara jam 1 petang hingga 4 petang itu hanya disedari mangsa berusia 35 tahun selepas pulang ke rumah dari tempat kerja jam 5.30 petang.

Difahamkan, kelibat dua lelaki menaiki motosikal jenis Honda EX5 warna emas itu sebelum itu dilihat hampir seminggu di kawasan berkenaan dipercayai mahu meninjau kawasan sekitar, malah pernah dikejar penduduk namun berjaya melarikan diri.

Menurut sumber, sebaik tiba di rumah, mangsa terkejut selepas mendapati pintu pagar luar terbuka dan keadaan sekeliling anjung rumahnya turut bersepah seperti digeledah.

“Mangsa kemudian memeriksa tingkap dan pintu sekeliling rumah namun tiada kesan umpil. Bagaimanapun, selepas melakukan pemeriksaan lanjut, dia mendapati empat rim kereta bernilai hampir RM1,000 diletakkan dalam kotak lesap.

“Hasil penelitian CCTV, jelas menunjukkan dua lelaki terbabit melarikan rim keretanya yang dibawa menaiki motosikal menghala ke Semenyih,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2015 @ 5:38am
d