mutakhir

Pemandu tercampak kereta berpusing

Chukai: “Saya ada berpesan kepadanya supaya berhati-hati memandu dan saya tidak sangka pula dia boleh terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawanya,” kata Azhar Ngah, 45, apabila anak saudaranya, Nor Azean Mohd Sari, 26, maut dalam kemalangan di Kilometer 273.4, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dekat Cheneh, semalam.

Nor Azean yang juga orang kurang upaya (OKU) kerana kecacatan pada kedua-dua belah kakinya maut apabila kereta Perodua Viva yang dipandunya terbabas sebelum merempuh penghadang jalan dalam kejadian jam 9.15 pagi.

Ketika kejadian, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur untuk bertugas selepas pulang bercuti di rumah keluarganya di Kampung Rhu Batil, Dungun.

Dalam kejadian itu, kereta yang dipandu mangsa dikatakan terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelum berpusing yang menyebabkan mangsa tercampak keluar dari kenderaan.

Mangsa yang parah di kepala dan anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Azhar berkata, anak saudaranya itu pulang bercuti di rumah keluarganya sebelum bertolak ke Kuala Lumpur jam 8.30 pagi dan dia sendiri sempat berpesan supaya memandu dengan berhati-hati.

“Pada mulanya saya ada berpesan kepadanya supaya tidak memandu seorang diri kerana jarak yang jauh, sebaliknya meminta dia cari kawan menemaninya.

“Arwah memaklumkan dia boleh memandu sendiri seperti orang lain sambil mengharapkan saya tidak bimbang keadaannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman.

Menurutnya, tidak lama selepas anak saudaranya itu bertolak, dia terima panggilan daripada seorang pengguna lebuh raya yang menggunakan telefon bimbit Nor Azean memaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

“Saya pada mulanya ingat kereta dia rosak dan terkejut apabila dengar suara orang lain di talian yang memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan,” katanya.

Rakan mangsa yang juga ahli kelab Perodua Viva, Hafizatul Mohd Rozali, 26, menyifatkan mangsa seorang yang cukup baik dan sering mengikut aktiviti yang dijalankan kelab berkenaan.

Disiarkan pada: October 6, 2015 @ 5:43am
d