mutakhir

Dua definisi ibu tunggal

Oleh Rudi Affendi Khalik

Kuching: Berkuat kuasa serta-merta, wanita yang masih bersuami dan memiliki anak, tetapi terpaksa mengambil alih peranan sebagai ketua isi rumah atas faktor kesihatan suami turut ditakrifkan sebagai ibu tunggal sekali gus layak menerima pelbagai bantuan disediakan kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim berkata, perkara itu sudah mendapat kelulusan Kabinet, malah turut termaktub dalam Pelan Tindakan Pemerkasaan Ibu Tunggal yang akan dilancarkan pada 22 Oktober ini.

“Di Malaysia, ada segelintir isteri terpaksa berkorban dan mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga terutama anak mereka selepas suami mengalami masalah kesihatan hingga tidak mengizinkannya bekerja.

“Ia situasi yang cukup sukar dan kita memahami keadaan itu. Justeru, kementerian mengambil inisiatif menyenaraikan golongan ini sebagai ibu tunggal bagi membolehkan mereka menerima bantuan disediakan kerajaan,” katanya ketika merasmikan Program Mari Bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), di sini semalam.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri Datuk Fatimah Abdullah.

Rohani berkata, pentakrifan baru istilah ibu tunggal itu sebahagian daripada inisiatif ke arah penambahbaikan usaha membantu kumpulan sasar itu selain memastikan hanya mereka yang layak sahaja menerima bantuan disediakan.

“Definisi ibu tunggal kini merangkumi wanita bercerai atau kematian suami dan mempunyai anak selain di bawah usia warga emas.

“Bagaimanapun, bagi wanita yang tidak pernah dan belum berkahwin, tetapi mempunyai anak sama ada anak angkat mahupun anak tidak sah taraf, mereka juga layak menerima bantuan disediakan untuk ibu tunggal,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan takrifan baru itu, jumlah ibu tunggal di seluruh negara dapat dikurangkan daripada lebih 800,000 orang sebelum ini kepada 235,240 orang mengikut Banci Penduduk dan Perumahan Negara 2010.

“Ia secara tidak langsung membolehkan kita memberi lebih fokus kepada kumpulan sasar ini terutama daripada segi mempertingkatkan kecekapan kaedah penyaluran bantuan kepada mereka,”katanya.

Pada majlis dihadiri lebih 180 peserta membabitkan pelbagai latar belakang itu, beliau turut menyatakan kementeriannya mensasarkan peningkatan penyertaan golongan wanita dalam bidang pekerjaan daripada 54 peratus tahun lalu kepada 59 peratus menjelang 2020.

Disiarkan pada: October 6, 2015 @ 5:46am
d