mutakhir

HSA dibuka untuk pesakit temu janji

Shah Alam: Penduduk di daerah ini kini dapat menarik nafas lega apabila hospital yang diimpikan selama ini mula membuka pintu mereka kepada orang ramai untuk menerima rawatan di Klinik Pakar, Hospital Shah Alam (HSA), semalam.

Penduduk dari Seksyen 19, Husain Dawi, 57, berkata, beliau ke HSA untuk memeriksa mata selepas mendapat maklumat hospital berkenaan mula menerima pesakit bagi rawatan Klinik Pakar.

“Jika sebelum ini pesakit dari daerah ini terpaksa pergi ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapatkan rawatan, namun hospital berkenaan agak jauh selain sesak kerana menerima pesakit dari daerah Klang dan Shah Alam.

“Memandangkan ini adalah hospital baru, jadi saya berharap agar kemudahan yang disediakan memuaskan hati serta mempunyai kakitangan yang mesra,” katanya ketika ditemui sejurus memeriksa matanya di Klinik Pakar, HSA, semalam.

Bagi pesara kerajaan yang menetap di Seksyen 2, di sini, Maizatul Akmam Meor Yahya, 70, berkata, selepas bertahun menanti, sudah tiba masanya Shah Alam perlu mempunyai hospital sendiri sesuai dengan identitinya sebagai ibu negeri Selangor.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor Dr S Balachandran berkata, HSA kini hanya menerima pesakit yang perlu dirujuk untuk bertemu pakar perubatan, namun belum bersedia untuk menerima masuk pesakit di wad.

“Bermula hari ini (semalam), HSA terbuka kepada pesakit yang mempunyai temu janji dengan pakar kami. Mereka perlu dirujuk oleh doktor di klinik kerajaan atau swasta dan mereka mesti membuat temu janji sebelum datang,” katanya ketika dihubungi.

HSA yang mula beroperasi secara berperingkat sebelum menerima pesakit bermula Januari tahun depan mempunyai 300 katil dan dikendalikan seramai 1,268 kakitangan sokongan serta 366 doktor dan pegawai perubatan, termasuk 60 doktor pakar dalam 13 jenis bidang kepakaran.

Disiarkan pada: October 6, 2015 @ 5:47am
d