mutakhir

'Nyawa kami tiada nilai'

Oleh Syazwan Msar

Shah Alam: “Nyawa kami (rakyat Syria) tiada nilainya di Syria kerana bila-bila masa dan di mana saja boleh dibunuh termasuk kanak-kanak yang tidak berdosa turut menjadi mangsa kekejaman pihak tentera,” kata pelarian dari Timur Ghouta, Syria, yang menetap di Malaysia, Sheikh Sameer Salika, 42.

Dia yang sudah menetap di negara ini sejak awal 2012 berkata, kesengsaraan dan keperitan yang dilalui bersama isteri serta empat anak berusia enam hingga 12 tahun menyebabkannya nekad melarikan diri ke Malaysia untuk mendapatkan perlindungan sewajarnya.

Katanya, setiap hari dia melihat pembunuhan dan penyeksaan, malah wanita di negaranya dirogol hanya kerana berbeza pendapat atau membantah setiap keputusan yang dilakukan pihak pemerintah.

“Kami di Syria sentiasa ketakutan, malah ingin menjenguk keluar pintu pun tidak berani kerana bila-bila masa saja boleh menjadi mangsa kekejaman tentera yang melakukan pembunuhan sesuka hati.

“Pernah satu ketika saya menyertai perhimpunan bertujuan membantah tindakan kerajaan, namun peserta perhimpunan ditembak mati tentera sebelum mayat mereka diseksa dengan kejam,” katanya ketika ditemui di Syria Care Malaysia, di sini, semalam.

Menurutnya, berbeza pula keadaan di negara ini yang sentiasa aman tanpa sebarang perbalahan, malah rakyat bebas berpolitik atau menyertai sebarang pertubuhan tanpa halangan atau sekatan daripada pihak tertentu.

“Jika diikutkan menjadi pelarian adalah sesuatu perkara yang menyeksakan kerana melarikan diri ke negara orang selain perlu menagih simpati masyarakat demi sesuap nasi.

“Mujur kerajaan Malaysia sanggup menerima pelarian Syria, malah rakyatnya juga begitu baik apabila memberikan bantuan sewajarnya seperti makanan, tempat tinggal dan perubatan,” katanya yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Sheikh Sameer yang kini menyambung pelajaran di Universiti Madinah, di sini, dalam jurusan Usul Fiqah turut menyimpan hasrat untuk kembali ke Syria bagi membantu lebih 22 juta rakyatnya yang kini sengsara akibat peperangan.

“Hati saya tersentuh apabila melihat dan mendengar penderitaan rakyat Syria yang menjadi mangsa peperangan seterusnya mahu menghulurkan bantuan sewajarnya kepada mereka demi meneruskan kehidupan.

“Namun, hasrat itu terpaksa dipendam saja kerana saya antara individu yang dikehendaki pihak kerajaan kerana bergiat aktif menerusi pertubuhan seperti Syria Care khusus membantu rakyat di negara itu dan tindakan jika pulang ke negara berkenaan pasti suatu yang buruk akan berlaku pada saya,” katanya.

Berhubung Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang, dia berkata, tindakan terbabit dapat menyelamatkan rakyat negara itu daripada terus menjadi mangsa peperangan selain membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan teratur.

“Bantuan daripada negara Islam terutama Malaysia amat dihargai terutama ketika rakyat Syria berhadapan dengan situasi genting apabila nyawa mereka sentiasa diancam setiap hari, sekali gus memerlukan sokongan dari negara luar,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2015 @ 6:01am
d