mutakhir

'Abah hantar gambar sambil menangis'

Banting: “Sebelum abah meninggal, dia ada hantar gambarnya memakai pakaian ihram sambil menangis. Kami tiga beradik rasa pelik kerana sebelum ini abah tidak pernah berbuat demikian melainkan kami yang meminta gambar daripadanya,” kata Nor Azlinda Ahmad Turidi, 34.

Bapanya, Ahmad Turidi Hashim, 63, meninggal dunia di bilik penginapannya di Makkah ketika menunaikan haji pada 27 September lalu akibat masalah jantung.

Menurutnya, bapanya turut menghantar pesanan terakhir di dalam kumpulan WhatsApp keluarga mereka.

“Saya mula rasa tidak sedap hati kerana teks berkenaan seolah-olah memberi bayangan abah akan pergi selamanya meninggalkan kami,” katanya.

Anak kedua daripada tiga betadik itu berkata, bapanya menceritakan situasi di Makkah pada kali ini agak besar dugaannya dan berjanji akan menceritakan keadaan itu apabila pulang ke tanah air kelak.

“Selepas abah berjanji untuk menceritakan pengalamannya ketika di Tanah Suci, kami tiga beradik rasa sedikit lega.

“Bagaimanapun, kami terpaksa menerima kenyataan perit apabila hanya menyambut kepulangan beg abah sahaja yang dibawa ibu ketika rombongan mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Sabtu lalu,” katanya sambil mengesat air mata.

Isteri arwah, Noraani Mohd Salleh, 60, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan suaminya selepas solat Isyak di bilik penginapan suaminya dan berjanji akan menunaikan tawaf bersama-sama jam 2 pagi.

“Sebelum itu suami tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami sakit yang teruk, cuma demam kerana terlalu penat akibat cuaca panas.

“Namun, sekitar jam 1.30 pagi suami masih juga tidak bangun dan saya bertanyakan rakan sebiliknya sebelum pergi memeriksanya dan mendapati suami sudah meninggal dunia dalam keadaan seperti tidur,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Sri Putra, di sini, semalam.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji Tan Sri Shukri Mohd Salleh menziarahi keluarga arwah dan menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada keluarga itu serta sempat berbual dengan balu arwah Turidi.

Disiarkan pada: October 7, 2015 @ 6:06am
d