mutakhir

8 anugerah iktiraf kartunis

Putrajaya: Anugerah Kampung Boy 2015 yang julung kali diperkenalkan tahun ini akan mengiktiraf kartunis tanah air menerusi lapan anugerah mengikut kategori masing-masing akan diadakan di Menara Seri Wilayah, di sini, pada 12 Oktober ini.

Presiden Kelab Kartunis Malaysia (KKM) Mohd Desa Omar berkata, anugerah itu sempena nama watak kartun terkenal daripada kartunis tersohor Datuk Mohamamad Nor Khalid atau Lat yang berkecimpung dalam arena seni lukis kartun sejak sekian lama.

Lebih membanggakan katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menyampaikan anugerah itu pada majlis yang menghargai dan mengiktiraf kartunis tanah air yang menjadi medium perantara kepada masyarakat sebagai penghibur, pencerita, pengkritik sosial dan penyampai maklumat melalui seni lukisan kartun.

Menurutnya, lapan anugerah itu adalah Anugerah Perdana Kampung Boy 2015, Anugerah Khas Juri, Anugerah Kartunis Lagenda, Anugerah Kartunis Malaysiana, Anugerah Kartunis Editorial, Anugerah Kartunis Terbaik, Anugerah Watak Kartun Animasi dan Anugerah Kartunis Muda Berbakat.

“Kita berharap majlis ini akan menaikkan semula industri kartun tanah air yang suram berikutan penutupan beberapa syarikat penerbit majalah kartun sejak kebelakangan ini.

“Selain itu, anugerah ini diharap menjadi rujukan kepada kartunis muda,” katanya pada sidang media selepas prapelancaran Anugerah Kampung Boy 2015, di sini, semalam.

Turut hadir, Penaung KKM Datuk Akmar Hisham Mokhles dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Ahmad Hilmy Abdullah.

Harian Metro adalah media rasmi bagi anugerah berkenaan.

Mohd Desa berkata, kriteria pemilihan penerima anugerah berdasarkan kepada lukisan dan kesungguhan kartunis itu dari segi berkarya selain sentiasa melahirkan perkara baru dan bermoral serta melahirkan karya bercirikan Malaysia.

Menurutnya, selain majlis Anugerah Kampung Boy 2015, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pameran kartun, bengkel melukis kartun untuk penuntut, komik dan animasi serta Sepetang Bersama Datuk Lat yang akan bermula jam 4.30 petang.

“Kami harap orang ramai dapat hadir ke Menara Seri Wikayah jam 9 pagi kerana pelbagai aktiviti boleh disertai,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2015 @ 6:27am
d