mutakhir

5 suspek serang restoran ditahan

Subang Jaya: Polis berjaya menahan lima suspek lelaki yang terbabit dalam kejadian amuk dan menyerang pekerja sebuah restoran di Jalan SS15 di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, semua suspek berusia 17 hingga 26 tahun itu di tahan di sekitar Shah Alam selepas laporan polis dibuat mangsa.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati tiga daripada suspek dalam keadaan mabuk ketika menyerang pekerja restoran itu.

“Berlaku perselisihan faham antara suspek dan pekerja restoran terbabit menyebabkan suspek menyerang mangsa beramai-ramai.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek negatif mengambil dadah,” katanya.

Yahaya berkata, semua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 8 Oktober ini bagi membantu siasatan.

“Pihak kami kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diletakkan di premis itu bagi mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam insiden serangan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan sekumpulan 15 samseng mengamuk bersenjatakan pisau dan pedang Samurai di dalam sebuah restoran hanya kerana tidak berpuas hati ditegur berkelakuan kasar oleh pekerja premis itu.

Kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu turut mencederakan seorang pekerja di restoran itu yang dibelasah kumpulan suspek.

Disiarkan pada: October 7, 2015 @ 6:28am
d