mutakhir

UIAM iktiraf dua program IIC

Gombak: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meluluskan pemindahan jam kredit bagi graduan peringkat diploma dari Kolej Islam Antarabangsa (IIC) untuk menyambung pengajian di universiti berkenaan yang berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Pegawai Eksekutif IIC Shamsul Kahar Haron berkata, pemindahan jam kredit itu hanya membabitkan graduan bagi program Diploma Sains Komputer (DCS) dan Diploma Teknologi Maklumat (DIT).

“Kami menyambut baik dan berterima kasih kepada pengurusan tertinggi UIAM itu dan berita terbaharu ini pasti melegakan graduan bagi dua program berkenaan untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat ijazah di universiti awam itu,” katanya.

Beliau berkata, pengumuman terbaharu ini sekali gus meletakkan IIC antara kolej swasta terbaik di negara ini sehinggakan UIAM mengiktiraf beberapa program peringkat diploma untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah.

Dalam pengumuman terbaharu yang membabitkan pemindahan jam kredit itu, graduan daripada program DCS dan DIT Kolej Islam Antarabangsa akan menyambung pengajian mereka untuk dua program ijazah di Kulliyyah of Information and Communication Technology (KICT) UIAM.

Sebanyak 13 subjek maksimum (39 jam kredit) dan 12 subjek maksimum (36 jam kredit) dibenarkan untuk pemindahan jam kredit untuk graduan IIC bagi kemasukan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (BCS) dan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (BIT) di UIAM.

Untuk Diploma Sains Komputer, 12 subjek diluluskan UIAM untuk pemindahan jam kredit.

Bagi Diploma Teknologi Maklumat, 13 subjek diluluskan untuk pemindahan jam kredit.

Shamsul Kahar berkata, pemindahan jam kredit bagi dua program diploma IIC untuk dua program ijazah di UIAM itu membolehkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal ke universiti awam mengambil peluang terbaik ini untuk menyambung pengajian mereka di IIC.

“Pelajar lepasan SPM boleh menjadikan IIC sebagai wadah untuk mereka belajar bersungguh-sungguh dan kemudian menyambung impian mereka di peringkat ijazah di UIAM,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2015 @ 6:11am
d