mutakhir

Ganti kereta 'usang'

Oleh Norizuan Shamsuddin

Subang Jaya: Polis Selangor bakal menggantikan kereta peronda polis ‘usang’ secara berperingkat membabitkan semua kenderaan di Ibu Pejabat Polis Daerah di negeri ini menjelang tahun depan.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, pihaknya dalam proses menggantikan kenderaan lama milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bagi memantapkan lagi tugas penyiasatan kes dan operasi.

Katanya, proses itu bagi memastikan pihak polis dapat melaksanakan tugas lebih cekap terutamanya membabitkan Unit Kereta Peronda (MPV).

“Saya menyedari banyak kenderaan (MPV) yang sudah uzur. Polis Selangor dalam proses menggantikan kenderaan lama menerusi penggantian berperingkat mulai bulan ini.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya bakal menerima 16 kereta MPV baru membabitkan model Proton Preve dan Inspira tidak lama lagi,” katanya selepas Majlis Perasmian Pondok Bit Polis di USJ 21 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Bina Puri Datuk Wong Foon Meng, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar dan Pengarah Urusan Main Place Jason Yam Huang Meng.

Pondok Bit Polis itu dibina bagi mengurangkan kadar jenayah di kawasan berkenaan di samping memberikan kemudahan kepada orang ramai berhubung dengan pihak polis.

Abdul Samah berkata, kadar indeks jenayah di Selangor mencatatkan penurunan 13.89 peratus (3,801 kes) bagi tempoh antara Januari hingga September lalu.

Katanya, sebanyak 23,770 kes dicatatkan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 27,571 kes bagi tempoh sama, tahun lalu.

“Pencapaian ini memberikan gambaran bahawa usaha mencegah dan membanteras jenayah menerusi pelbagai langkah antaranya melalui kekerapan rondaan Unit Ronda Bermotosikal (URB), Unit Kereta Peronda (MPV), peningkatan program kemasyarakatan dan sebagainya,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2015 @ 6:13am
d