mutakhir

Panggilan terakhir ayah

Georgetown: “Kali terakhir kami berbual dengan arwah pada Aidiladha lalu melalui panggilan telefon dan ayah memohon maaf selain memaklumkan dia kerap hilang selera makan,” kata Siti Aminah Mohd Ismail, 24, yang kematian bapanya ketika menunaikan ibadah haji di Makkah.

Siti Aminah berkata, dalam perbualan berkenaan, nada suara arwah bapanya, Mohd Ismail Abd Salam, 66, ketika itu sangat ceria dan dia memberitahu sungguh gembira kerana berpeluang berbual dengan ahli keluarganya.

“Walaupun sedih, kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah dan masih terngiang-ngiang pesanannya yang meminta kami adik-beradik berkumpul di rumah sekiranya dia tidak berpeluang kembali ke tanah air.

“Ayah tidak pernah mengadu sakit sepanjang mengerjakan ibadah haji, namun kami sekeluarga percaya Allah lebih sayangkannya,” katanya yang ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di rumah mereka di Bukit Gedung, Bayan Lepas, dekat sini, semalam.

Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat radang paru-paru di Hospital King Faizal, Makkah, Isnin lalu. Dia yang menunaikan ibadah haji bersama isterinya, Fatimah Beevi Mohamed Sultan, 60, dijadualkan pulang ke tanah air Jumaat ini.

Siti Aminah berkata, beliau berhasrat melawat kubur ayahnya di Tanah Suci sekiranya berpeluang ke sana satu hari nanti.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, TH tidak bercadang mengehadkan usia umat Islam yang layak menunaikan ibadah haji dalam usaha mengurangkan kes kematian dalam kalangan jemaah di Tanah Suci.

Beliau berkata, walaupun ada kematian jemaah di sana kerana jatuh sakit berikutan faktor usia, cadangan berkenaan tidak adil untuk bakal jemaah.

“Mereka (jemaah) membuat simpanan di Tabung Haji dalam tempoh lama dan hanya apabila mencapai had umur tertentu, mereka menerima panggilan untuk mengerjakan haji.

“Kita tidak boleh hadkan umur kerana peluang mengerjakan haji hadir apabila mereka mencapai usia yang tua, jadi ia perlu dihormati,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2015 @ 6:30am
d