mutakhir

Waris terima faedah PERKESO

Alor Setar: Isteri kepada jemaah haji Malaysia, Zulkifly Samad, 50, yang terkorban dalam insiden rempuhan di Mina, Makkah pada 24 September lalu menerima skim faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) iaitu pencen bulanan maksimum dan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM1,500, semalam.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Sumber Manusia PERKESO Che Hamid Che Ahmad berkata, semakan status mendapati waris kepada Allahyarham Zulkifly, Suriahanim Abd Hamid layak mendapat faedah menerusi Skim Pencen Ilat dan Skim Bencana Pekerjaan.

Katanya, kadar pencen bulanan itu tertakluk kepada gaji Allahyarham dan bayaran maksimum ditetapkan kepada waris atau tanggungan kepada mangsa.

“Bayaran ini diberikan kepada waris atau tanggungan mangsa berdasarkan Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969 menerusi Skim Pencen Ilat yang memperuntukkan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM1,500 dan faedah pencen penakat yang dibayar secara bulanan.

“Pada masa sama, kita turut menyampaikan sumbangan pengurusan jenazah berjumlah RM3,000 kepada isteri Allahyarham kerana dia (isteri) adalah kakitangan di PERKESO,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan wang pencen apabila mengunjungi keluarga berkenaan di Jalan Pokok Asam, Langgar, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Kesatuan Kakitangan PERKESO Tuan Azman Tuan Yaakob dan Pengarah PERKESO negeri Othman Mohd Nordin.

Menurutnya, sumbangan berkenaan diberikan kepada mana-mana kakitangan PERKESO jika isteri atau suami mereka meninggal dunia berdasarkan terma dan syarat ditetapkan.

“Sebagai majikan kepada Suriahanim, kita berharap sumbangan ini dapat meringankan beban ditanggungnya dan mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2015 @ 6:30am
d