mutakhir

Terkilan masih bersarang

Oleh Azma Razana Johari

Simpang Ampat: “Saya terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan terakhir suami untuk menunaikan haji bersama-sama selepas permohonan saya tidak berjaya,” kata Salamiah Mohd Shahar, 57, isteri Aziz Yeop Chulan, 84, yang meninggal dunia di Arafah ketika mengerjakan ibadah haji, 23 September lalu.

Salamiah, 57, berkata, arwah suaminya mengalami serangan jantung sebelum meninggal dunia di Hospital Tabung Haji, Arafah dan berita berkenaan disampaikan anak sulung suaminya, Ahmad Hazizi Aziz, 59, yang turut sama mengerjakan haji.

“Saya menerima panggilan daripada Hazizi pada jam 8.45 malam iaitu malam raya Aidiladha dan sangat terkejut dengan berita yang disampaikan.

“Ketika tiba di Makkah, suami menghubungi saya dan memberitahu hanya letih sedikit, namun tidak mengadu sakit,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim di rumahnya di Taman Puteri Gunung, di sini, semalam.

Salamiah berkata, sebelum berangkat ke Tanah Suci, suaminya memberitahu akan membuat rayuan untuknya supaya dia dapat turut sama menunaikan haji.

“Arwah beritahu mahu membuat rayuan kepada pengurusan TH supaya permohonan rayuan saya diluluskan apabila tiba di Makkah.

“Aziz bersama Hazizi berlepas ke Makkah pada 10 September lalu dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 23 Oktober ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga waris jemaah haji berkenaan, sekali gus meluluskan permohonan Salamiah untuk menunaikan haji pada tahun hadapan.

“Kita akan menguruskan semua barang serta dokumen milik arwah untuk dipulangkan kepada keluarganya dan permohonan isterinya untuk menunaikan haji pada tahun hadapan diluluskan.

“Secara keseluruhan, seramai 33 jemaah haji Malaysia meninggal di Makkah pada tahun ini termasuk tragedi kren tumbang di Masjidilharam dan rempuhan di Mina serta sakit manakala seorang lagi meninggal dunia selepas tiba di tanah air,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2015 @ 6:31am
d