mutakhir

Peniaga kecil menderita

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Situasi jerebu bukan saja menjejaskan kesihatan, malah turut mampu ‘membunuh’ peniaga kecil yang rata-rata mengalami kerugian jumlah pendapatan hampir 50 peratus berikutan tindakan orang ramai mengurangkan aktiviti luar masing-masing.

Malah, keadaan berkenaan yang berlarutan lebih sebulan lalu turut menjejaskan jumlah pengunjung dan pelancong di beberapa kawasan utama seperti Pasar Seni, Bukit Bintang dan Jalan Chow Kit, di sini, yang terkenal sebagai pusat tumpuan orang ramai untuk membeli-belah.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah berkata, peniaga makanan dan minuman antara teruk terjejas berikutan tindakan orang ramai yang tidak lagi mengunjungi gerai mereka kerana masalah jerebu semakin membimbangkan.

“Setiap tahun rakyat di negara ini terpaksa menghadapi situasi sama iaitu jerebu menyebabkan orang ramai bimbang untuk melakukan aktiviti luar seperti makan di gerai atau membeli-belah kerana dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan masing-masing.

“Kami sebagai peniaga sudah penat menghadapi situasi sama setiap tahun, lebih-lebih lagi masalah itu mempengaruhi jumlah pendapatan terutama peniaga makanan serta minuman yang mengharapkan orang ramai untuk mengunjung gerai mereka,” katanya dalam sidang media, di sini, semalam.

Berikutan itu, IKHLAS bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Bukit Ampang Saujana dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) akan menghantar memorandum kepada Kedutaan Indonesia dalam masa terdekat untuk mendesak mereka melaksanakan langkah sewajarnya bagi menghentikan masalah jerebu itu.

“Selain menghantar memorandum, kami juga mahu kerajaan bertindak lebih tegas dengan meminta Indonesia lebih bertanggungjawab dan serius dalam menangani isu jerebu ini dan berhenti menyalahkan pihak lain.

“Kerajaan Indonesia juga perlu membuang ego dengan berganding bahu bersama negara jiran dalam merangka alternatif supaya masalah ini tidak lagi membelenggu semua pihak,” katanya.

Sementara itu, peniaga makanan, Anowar Omar, 54, yang membuka gerai makan di Ampang, Selangor berkata, pendapatannya berkurangan sejak sebulan lalu apabila orang ramai lebih berminat untuk makan di rumah masing-masing berbanding di luar.

“Sebelum ini, saya boleh menjana pendapatan sekitar RM4,000 hingga RM6,000 sebulan, malah lebih-lebih lagi jika cuti hujung minggu namun sejak jerebu melanda negara, jumlah pelanggan berkurangan menyebabkan hanya mampu meraih kira-kira RM2,500 saja termasuk Sabtu dan Ahad.

“Kebanyakan pelanggan takut untuk makan di luar malah beranggapan makanan yang dihidangkan turut tercemar akibat jerebu, sekali gus menjejaskan pendapatan kami,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Selain itu, seorang peniaga barangan kraf di Pasar Seni, Norani Ranan, 45, mengakui jumlah pengunjung terutama pelancong asing semakin berkurangan menyebabkan bangunan yang menjual barangan kesenian itu sepi.

Dia yang sudah berniaga lebih 29 tahun berkata, pelancong luar mengehadkan aktiviti masing-masing dan Pasar Seni antara yang menerima tempiasnya hingga peniaga terpaksa menanggung kerugian.

“Walaupun saya berniaga di dalam bangunan, kesan jerebu turut dirasai kerana orang ramai mengehadkan aktiviti luar dengan tidak mengunjungi pusat beli-belah kerana dibimbangi mempengaruhi kesihatan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2015 @ 6:35am
d