mutakhir

Surat buat Jokowi

Oleh Hayati Ibrahim dan Ainul Fatihah Mansor

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah mengutus surat kepada Presiden Indonesia Joko Widodo, kelmarin bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia berhubung situasi jerebu yang melanda negara ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Perdana Menteri juga turut menggesa supaya tindakan pemadaman kebakaran di negara itu dapat diperhebat supaya masalah jerebu ini dapat dihentikan segera.

Menurutnya, status kualiti udara secara keseluruhannya semalam bertambah baik apabila bilangan kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Tidak Sihat berkurangan berbanding kelmarin.

Bagaimanapun, katanya, jerebu merentas sempadan dari Sumatera dan Kalimantan, Indonesia mempengaruhi status kualiti udara dengan sebahagian besar kawasan masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap sederhana.

“Berikutan berakhirnya ribut tropika Mujigae di Utara Vietnam, kawasan serantau negara kita dijangka akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai hala untuk tempoh sehingga 12 Oktober ini.

“Corak tiupan angin pelbagai hala ini akan menyebabkan keadaan cuaca menjadi lebih lembap dengan hujan boleh berlaku di kawasan pantai negeri pantai barat Semenanjung, sekali gus dapat meredakan keadaan berjerebu,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Berikutan itu, Wan Junaidi berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kementerian akan terus memantau bacaan IPU di seluruh negara melalui 52 stesen pengawasan kualiti udaranya.

Menurutnya, mekanisme tindak balas semasa berlaku jerebu juga mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, termasuk Perintah Larangan Pembakaran Terbuka (PLPT) yang dikeluarkan bagi Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikeluarkan sejak Mac 2014 masih berkuatkuasa sehingga kini.

“Melalui larangan ini, semua aktiviti pembakaran terbuka di kawasan berkenaan dilarang sama sekali, kecuali aktiviti tertentu iaitu pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar,”katanya.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan oleh JAS sehingga 4 Oktober lalu, 3,461 kes pembakaran terbuka dikesan di seluruh negara.

Katanya, ia membabitkan kawasan hutan sebanyak 592 kes, pertanian (1194), industri (19), pembinaan (71), tapak pelupusan sampah (95), kawasan belukar (687) dan pembakaran terbuka kecil lain (803).

“Bagi tempoh sama, 216 kes pembakaran terbuka sudah dikenakan tindakan kompaun, sementara 15 kes dikeluarkan notis arahan dan 41 kes sudah dikeluarkan surat arahan.

“Selain itu juga, 23 kes pembakaran terbuka sudah disediakan kertas siasatan untuk diambil tindakan mahkamah,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2015 @ 6:38am
d