mutakhir

200 tangguh belajar

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Pasir Mas: “Saya hanya fikirkan kitab saya yang hangus terbakar,” kata Othman Al-Farouk Burhanuddin, 21, seorang daripada 63 mangsa kebakaran pondok Madrasah Addiniah Al-Yusufiah, Gelang Mas, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, 48 daripada 200 pondok madrasah itu terbakar ketika pelajar mengaji al-Quran di masjid berdekatan, mengakibatkan kerugian hampir RM300,000.

Othman berkata, sehingga kini dia masih memikirkan semua kitab yang hangus terbakar, memandangkan ia sudah digunakan sejak lima tahun.

“Saya tidak fikir lain selain daripada kitab yang terbakar kerana ia sedikit sebanyak mengganggu pelajaran saya.

“Bagaimanapun saya reda dengan ketentuan Ilahi. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian,” katanya yang ditemui selepas menerima kunjungan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) yang diwakili wakil Presiden POKB, Mohamed Afandi Hassan, di sini, semalam.

Dalam kunjungan itu, POKB menyampaikan bantuan segera iaitu dapur, pakaian dan makanan yang keseluruhan bernilai RM15,000.

Sementara itu, mudir pondok berkenaan, Awang Yusof, 70, berkata, sesi pembelajaran 200 pelajar pondok itu ditangguhkan sehingga minggu hadapan susulan kejadian itu.

“Kita masih dalam proses membersihkan kawasan selain terdapat beberapa pelajar yang pulang ke rumah keluarga. Insya-Allah selepas semuanya selesai, sesi pembelajaran akan berjalan seperti biasa mulai minggu depan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Afandi berkata, Presiden POKB Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad menyatakan komitmen membantu mangsa.

“Kita prihatin dan simpati dengan nasib menimpa pelajar dan sumbangan segera ini diharap meringankan beban mereka,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2015 @ 6:40am
d