mutakhir

Utama rumah mampu milik

Subang Jaya: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berharap Kementerian Kewangan akan memberi perhatian khusus untuk projek rumah mampu milik (RMM) dalam pembentangan Bajet 2016.

Menterinya Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, akses kepada projek RMM juga perlu dipermudahkan kerana KPKT berdepan kesukaran terutama kerenah birokrasi disebabkan negara mempunyai tiga peringkat pentadbiran.

“Kita berdepan dengan kerenah birokrasi, tidak seperti di Singapura yang mempunyai satu kerajaan. Di Malaysia, kita ada tiga kerajaan iaitu Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT).

“Kita memerlukan kelulusan kerajaan negeri untuk tapak dan PBT untuk kebenaran merancang atau pembangunan,” katanya.

Menurutnya, biarpun menghadapi banyak kekangan dan cabaran, perbincangan antara agensi persekutuan dan negeri sentiasa dibuat untuk memastikan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan RMM dapat disegerakan kerana jika lambat ia akan meningkatkan kos dan masalah lain.

Mengulas mengenai harga RMM yang dikatakan masih tinggi, beliau berkata, jumlah RM35,000 untuk sebuah rumah yang ditawarkan kerajaan adalah berpatutan berbanding kos pembinaannya yang bernilai lebih RM150,000.

Selain projek perumahan di bawah KPKT, Kementerian Wilayah Persekutuan juga memperkenalkan dasar Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).

Disiarkan pada: October 9, 2015 @ 6:20am
d