mutakhir

Kaki kebas nak tidur di surau

Balik Pulau: Alasan digunakan mahu menumpang tidur, namun hakikatnya seorang lelaki cuba mencuri wang dalam tabung surau di Kampung Jawa, Bayan Baru, dekat sini, kelmarin.

Bagaimanapun, perbuatannya dikesan penduduk yang menahan dan menyerahkan suspek berusia 29 tahun itu kepada polis.

Menurut sumber, kejadian berlaku jam 1.30 pagi apabila seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang kebetulan melalui kawasan surau terserempak seorang lelaki yang ketika itu memanjat pagar surau berkenaan.

Menurut sumber, remaja itu bertanya lelaki berkenaan apa yang dilakukannya sebelum suspek memberitahu dia mahu menumpang tidur di surau terbabit selain mendakwa kononnya mudah untuk beribadat sementara menanti Subuh.

“Namun, remaja berkenaan tidak mudah tertipu dan dia kemudian berpura-pura mahu pulang sebelum bersembunyi berhampiran kawasan surau kerana curiga melihat lelaki terbabit.

“Selepas hampir 15 minit meninjau, remaja itu melihat suspek cuba membuka tabung surau dan dia menghubungi beberapa rakannya yang tiba tidak lama kemudian,” kata sumber.

Sumber berkata, suspek ditahan dan selepas disoal siasat, dia akhirnya mengaku mahu mencuri tabung di surau terbabit sebelum diserahkan kepada polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Lai Fah Hin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan suspek yang berasal dari Kedah itu.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 9, 2015 @ 6:27am
d