mutakhir

Perkasa kenegaraan

Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Aspek pembangunan kemahiran tidak akan menenggelamkan modul kenegaraan yang menjadi teras Program Latihan Khidmat Negara 2.0 (PLKN 2.0),” kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, malah modul berkenaan diperkasakan lagi dalam Projek Perintis Transformasi PLKN yang akan dilaksanakan pada 17 Oktober ini.

Katanya, ia teras kepada kewujudan program berkenaan dan tidak boleh berubah.

“Modul kenegaraan dikekalkan supaya semangat cintakan negara dan patriotik masih ada dalam modul PLKN 2.0 dengan menitikberatkan patriotisme, kesukarelawanan dan perpaduan.

“Kalau kita mahu berdepan dengan dunia tanpa sempadan, ancaman baru yang kita hadapi, isu keselamatan dalam konteks keamanan sejagat, saya percaya kita tidak boleh kompromi, jadi elemen kemahiran tidak akan menjejaskan nilai-nilai tadi. Kita akan lihat kejayaannya 10 tahun lagi,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan wakil Unit Pengurusan, Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), Jabatan Perdana Menteri.

Hishammuddin berkata, Projek Perintis Transformasi PLKN berwajah baru selama dua bulan itu akan diadakan Kem Princess Haliza di Sepang dekat sini, membabitkan penyertaan 31 jurulatih yang akan menggunakan modul baru.

“Sehingga kini, seramai 410 pelatih memberikan maklum balas bagi menyertai projek ini.

“Daripada jumlah itu, 101 orang menyatakan persetujuan untuk menyertai selepas menerima surat tawaran Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) manakala 309 yang lain menawarkan diri secara sukarela,” katanya.

Sementara itu Khairy berkata, elemen kemahiran dimasukkan sebagai nilai tambah kepada pelatih.

Katanya, ia bertujuan menjadikan pelatih memiliki ciri-ciri kebolehpasaran, lebih mudah mendapat pekerjaan dan didedahkan kepada kemahiran.

“Jadi untuk proses perintis ini mereka akan ditawarkan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dalam bidang teknikal seperti automobil, kejuruteraan dan lain-lain kemahiran yang sesuai,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2015 @ 6:42am
d